PAS Bangi hulur bantuan susulan mangsa banjir

- Advertisement -

BANGI: PAS Kawasan Bangi telah menggerakkan bantuan untuk mangsa-mangsa banjir yang terkesan oleh kejadian tersebut berikutan hujan lebat dan limpahan lumpur lewat petang 18 Julai lalu.

- Advertisement -

Selepas tindakan segera menerusi Pusat Operasi Bantuan Banjir yang telah digerakkan Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Bangi, bantuan susulan berupa keperluan asas makanan pula telah diagihkan semalam.

Komitmen tersebut dipimpin sendiri Yang DiPertua PAS Bangi, Ustaz Mohd Shafie Ngah menyampaikan sumbangan sekampit beras, sepapan telur dan sekarung makanan asas di Taman Sri Jambu dan Taman Muhibbah, Kajang, di sini.

Sumbangan yang dikumpulkan dari ahli-ahli PAS Bangi serta pemberian NGO Generasi Prihatin (Gen-P) itu diserah dengan bantuan sama anggota AMAL dari Kawasan Klang, Kota Raja dan Kapar.

Mereka diselaraskan oleh Komandan AMAL Bangi, Baharuddin Roz serta turut disertai Timbalan Ketua Pemuda PAS Bangi, Ustaz Mohd Idris Yussof dan wakil-wakil Muslimat PAS Bangi.

Terdahulu dalam beberapa hari setelah kejadian, anggota AMAL Bangi serta dari beberapa kawasan dalam Selangor turut membanting tenaga memberi khidmat pembersihan di kediaman-kediaman mangsa.

Tugas sama turut diperluaskan ke premis awam seperti taska dan surau melibatkan ketiga-tiga DUN dalam Parlimen Bangi iaitu Sungai Ramal, Sungai Chua dan Kajang bersama agensi-agensi lain yang turut membantu.

Antara kesulitan dihadapi penduduk adalah banjir lumpur yang menenggelamkan kediaman atau premis berkaitan hingga paras pinggang di mana turut merosakkan perkakas dalam rumah mereka termasuk kenderaan.

Pun begitu, Ustaz Shafie tetap menyatakan komitmen untuk menggerakkan usaha bantuan dan berharap penduduk dapat bersabar hingga penyelesaian jangka panjang juga turut diketengahkannya.

Orang ramai yang ingin bersama menyokong dan membantu PAS Bangi boleh menyumbang ke akaun Maybank 5628 3462 8110 Pemuda PAS Serdang. – HARAKAHDAILY 22/7/2020

- Advertisement -