MyBrain: Pelaburan jangka panjang yang menguntungkan

SEMALAM saya ada membangkitkan berkenaan program pembiayaan lanjutan ijazah, MyBrain, supaya diteruskan kembali secara lebih serius selepas dibekukan di bawah Kerajaan Pakatan Harapan pada tahun 2018 yang lalu.

Advertisement

Selain dapat mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan siswazah di negara ini yang dilihat semakin meningkat dari tahun ke tahun, program ini juga selari dengan Dasar Pendidikan Negara 2015-2025 yang meletakkan sasaran untuk melahirkan seramai 60,000 pemegang ijazah kedoktoran (PhD) menjelang tahun 2023.

Saya berpandangan program ini adalah suatu pelaburan negara yang sangat menguntungkan dan mampu memberikan pulangan positif jangka panjang kepada penjanaan ekonomi negara dari aspek pembangunan sektor penyelidikan R&D, serta melahirkan modal insan yang berkualiti di masa hadapan.

Sehingga kini, program MyBrain ini telah berjaya menaja seramai 56,910 pelajar di peringkat pasca siswazah. Alhamdulillah, sehingga Jun 2020, sebanyak 60 peratus daripadanya yang bersamaan dengan 34,207 pelajar telah berjaya menamatkan pengajian mereka.

Saya berharap Kerajaan berusaha untuk sentiasa meneruskan program seperti ini dengan beberapa penambahbaikan demi masa depan negara yang lebih baik.

Terima kasih.

Islam Memperkukuh Perpaduan

YB SENATOR USTAZ HAJI IDRIS AHMAD
Ahli Dewan Negara – HARAKAHDAILY 22/9/2020