Etika wartawan mesti berbeza dari pengguna medsos

- Advertisement -

KOTA BHARU: Warga media diseru meneruskan kaedah mencari maklumat yang tepat untuk dilaporkan pada masyarakat tanpa menjadikan media sosial (medsos) sebagai rujukannya.

- Advertisement -

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, biarpun teknologi maklumat di hujung jari, namun rakan media tidak ‘mengutip’ bahan begitu mudah sebelum ianya disahkan terlebih dahulu.

Katanya, hari ini rakan media yakni para wartawan terpaksa berhadapan dengan pemilik media sosial lain di luar sana yang turut melaporkan kejadian berlaku di sekeliling mereka.

“Pada saya jika kita berlumba dengan mereka untuk melaporkan secara cepat, akan berlaku kesilapan kerana apa yang dilaporkan hanya mengikut tanggapan dan bukannya dari sumber yang sah.

“Kita berharap rakan wartawan tidak terikut dengan mereka, jaga perilaku kita, jangan buat laporan sesuka hati, sebaliknya mencari kebenaran terlebih dahulu sebelum disebarkan pada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Malam Apresiasi Media Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan, di sebuah hotel, di sini malam tadi.

Zaki bagaimanapun mengakui hubungan media Kelantan dengan pihaknya begitu erat yang disifatkannya berada pada landasan baik dan akan terus menjadi baik sekiranya etika kewartawanan itu dipelihara.

“Saya amat beryukur kerana banyak manfaat diperoleh hasil dari kerjasama erat dengan media. Kerjasama ini bukan hanya di peringkat PDRM negeri, sebaliknya juga peringkat daerah,” katanya lagi.

Muhamad Zaki berkata, beliau menghargai peranan wartawan sebagai rakan strategik PDRM dalam membantu kontinjen menguar-uarkan kejayaan pihaknya dalam membanteras jenayah termasuk melibatkan gejala penyeludupan dadah dan migran.

Tambahnya, hasil hebahan wartawan, ramai yang bercakap pasal tangkapan dadah dan senjata api yang dijalankan oleh Kontinjen Kelantan.

“Kerjasama unik antara media dan PDRM ini, masyarakat melihat kami sebagai kontinjen yang aktif. Sepanjang kerjasama polis dan media, tidak pernah timbul aduan dari pucuk kepimpinan (PDRM).

“Malah mereka sangat gembira atas hubungan kedua-dua pihak yang terjalin berada di landasan amat baik,” katanya lagi.

Turut berucap pada majlis itu, Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI), Muhammad Yatimin Abdullah.

Sementara itu, wartawan Harakah Cawangan Kelantan, Salmah Mat Husain dan jurugambar, Rizal Tahir menerima penghargaan berupa sijil daripada Muhamad Zaki sempena majlis itu.

Turut sama menerima penghargaan ialah 35 wartawan dan jurugambar media cetak serta elektronik daripada pelbagai agensi lain termasuk Astro Awani, Radio Televisyen Malaysia dan media cetak antaranya Sinar Harian, Utusan Malaysia. – HARAKAHDAILY 22/8/2024