Jamzuri mohon maaf kepada Dr Kamarul di mahkamah

Pemimpin PAN keempat terpaksa berbuat demikian dalam tempoh empat bulan ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengarah Komunikasi PAN Negeri Melaka, Jamzuri Ardani menjadi pemimpin parti itu yang terkini terpaksa memohon maaf kepada penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff.

- Advertisement -

Perkembangan ini menjadikan Jamzuri sebagai pemimpin keempat daripada PAN yang akhirnya berbuat demikian dalam tempoh empat bulan ini kepada Dr Kamarul iaitu pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM).

Permohonan maaf Jamzuri kepada Dr Kamarul itu kerana muat naik di Facebook beliau bertarikh 5 April 2020, di mana telah direkodkan di depan Hakim Mahkamah Sesyen 7, Lailatul Zuraida Harron @ Haron, di sini semalam.

Serentak dengan itu, Jamzuri juga telah menarik balik kenyataan beliau dalam muat naik di Facebook peribadinya itu yang menyentuh beberapa dakwaan langsung mengenai atau ke atas Dr Kamarul.

Muat naiknya itu mendakwa Dr Kamarul seorang yang terlalu naif; hanya mampu mengeluarkan kenyataan yang merupakan satu provokasi politik bodoh; dan bukan ahli akademik yang cerdik dan berprinsip, serta menjadi kuda tunggangan orang politik.

Peguam Dr Kamarul, Mohd Harris Mohan Abdullah dari The Law Office of Mohd Harris, ketika dihubungimengesahkan permohonan maaf Jamzuri kepada Dr Kamarul itu melalui sesi mediasi sebelum bicara penuh dimulakan semalam.

“Dr Kamarul sangat teruja dengan perkembangan ini dan sekarang ini kami mahu lebih fokus kepada beberapa kes besar yang sedang saya kendalikan. Termasuk saman-saman beliau terhadap Khalid Samad, Hanipa Maidin, Lim Guan Eng, Hannah Yeoh, Steven Sim dan Datuk Kadir Jasin.

“Selain itu, seorang lagi peguam, iaitu Faidhur Rahman Abdul Hadi juga sedang mengendalikan kes-kes saman beliau terhadap 6 pemimpin besar DAP lain, iaitu Lim Kit Siang, Teresa Kok, Chong Chieng Jen, Lim Lip Eng, Wong Kah Woh dan Dr Ramasamy.

“Kami menaruh keyakinan tinggi kami akan memenangi sebahagian besar daripada kes-kes saman ini seterusnya memulihkan balik imej dan kewibawaan Dr Kamarul yang selama ini cuba dicemar oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab,” kata Mohd Harris.

Sebelum ini, pada 11 September, Naib Ketua Pemuda PAN Negeri Perak, Mohd Fitri Asmuni juga memohon maaf dan menarik balik kenyataan beliau dalam muat naik Facebook beliau yang menyentuh mengenai Dr Kamarul.

Antara lain muat naik Mohd Fitri itu mendakwa Dr Kamarul seorang cybertrooper bertaraf doktor; seorang yang cuba membohongi dan mengelirukan pembaca; dan seorang penakut yang hanya mampu berselindung di sebalik penulisan seperti di media sosial.

Manakala pada 29 Oktober, Ketua Pemuda PAN Sungai Besar, Selangor, Ahmad Zhafri Md Noor, juga memohon maaf dan menarik balik kenyataan beliau dalam muat naik Facebook beliau yang menyentuh mengenai Dr Kamarul.

Muat naik oleh Ahmad Zhafri itu mendakwa Dr Kamarul seorang yang mempunyai mentaliti pengalah; sengaja meniup fitnah yang mengapi-apikan sentimen perkauman; dan bersifat jahat dan suka menimbulkan ketegangan antara kaum dan agama.

Terbaharu, pada 4 Disember, mantan Naib Pengerusi PAN Wilayah Persekutuan, Kamal Koh Abdullah juga memohon maaf dan menarik balik kenyataan beliau dalam muat naik Facebook beliau menyentuh mengenai Dr Kamarul.

Kamal Koh dalam muat naik itu mendakwa Dr Kamarul seorang penghasut profesional; menulis tulisan yang kekosongan; dan mendidik rakyat Malaysia menjadi sempit, emosional dan rasis atau asabiyah perkauman.

Turut sama memohon maaf dan menarik balik kenyataan beliau sebelum itu yakni pada 11 November dalam muat naik Facebook beliau yang menyentuh mengenai Dr Kamarul adalah Muhammad Al Hanif Mah Hassan.

Muat naik Muhammad Al Hanif mendakwa Dr Kamarul seorang yang tidak boleh dipercayai; membuat muat naik Facebook yang mempertikaikan kehadiran Raja Muda Perlis dalam satu acara bersama Steven Sim dan memadamkannya; dan memfitnah penerima bantuan motosikal daripada Steven Sim. – HARAKAHDAILY 17/12/2021

- Advertisement -