ARAU: Di sebalik kemuliaan takhta dan gelaran diraja, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menyimpan sejarah perjuangan peribadi dalam mempertahankan kedaulatan tanah air tercinta.
Baginda bukan sahaja dikenali sebagai seorang pemerintah berjiwa rakyat, malah pernah menyumbang khidmat secara langsung dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Lantaran itu, baginda merasai sendiri pahit getir mempertahankan negara ketika era konfrontasi, peristiwa 13 Mei dan darurat menentang komunis.
Tuanku memulakan khidmat ketenteraan di bawah panji-panji Kor Peninjau Diraja (kini dikenali sebagai Kor Armor Diraja), dan pernah bertugas di Kem Batu Lima, Mentakab, Pahang sebelum ditempatkan ke Sabah pada tahun 1966 dan Sarawak pada 1967.
Baginda kemudiannya dinaikkan ke pangkat Leftenan sebelum menamatkan perkhidmatan dalam ATM pada 31 Disember 1969 bagi memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tanggungjawab sebagai Raja Muda Perlis.
Baginda dimasyhurkan sebagai Raja Perlis pada 17 April 2000 dan kemudiannya ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-12 pada 25 April 2002.
Ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah pembinaan Masjid Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Kangar pada 11 April lalu, Baginda bertitah bahawa projek tersebut merupakan antara agenda utama sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan.
Sambutan Jubli Perak ini juga bersempena ulang tahun keputeraan Baginda ke-82 pada 17 Mei ini, dan akan berlangsung selama setahun hingga 16 April 2026, menampilkan pelbagai acara rasmi dan berteraskan rakyat.
Sambutan secara rasmi telah bermula malam tadi menerusi Majlis Santapan Diraja di Istana Arau dengan baginda berangkat ke majlis berkenaan bersama Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.
Turut sama berangkat, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail; Raja Puan Muda, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil; serta warisnya yang kedua, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Majlis turut diserikan dengan keberangkatan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Raja-Raja Melayu, Permaisuri-Permaisuri serta Yang di-Pertua Negeri.
Antara kenamaan yang hadir termasuk Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Dato’ Sri Fadillah Yusof serta Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
Antara acara yang bakal memeriahkan sambutan Jubli Perak termasuk Majlis Perasmian Mercu Tanda Bulatan Padang Besar (24 April) dan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (27 April – 2 Mei).
Juga Persembahan Kesenian dan Orkestra Diraja (15 November), serta Istiadat Perarakan Panji-Panji Rejimen Renjer Diraja dan persembahan tatu oleh ATM (26 April).
Tayangan wayang pacak untuk rakyat turut berlangsung malam tadi di Dataran Dato’ Sheikh Ahmad, Kangar yang dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk lintas langsung Majlis Santapan Diraja.
Baginda yang diputerakan pada 17 Mei 1943 di Bandar Diraja Arau menerima pendidikan awal di Penang Free School sebelum melanjutkan pengajian ke Wellingborough Public School, England sehingga tahun 1963.
Pada usia 17 tahun, Baginda telah dilantik sebagai Raja Muda Perlis pada 30 Oktober 1960.
Sebagai seorang Raja yang dekat di hati rakyat, Tuanku Syed Sirajuddin sentiasa menekankan kepentingan pegangan Ahli Sunnah Waljamaah serta kehidupan berpaksikan al-Quran demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri Perlis. – HARAKAHDAILY 18/4/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!