Asal JIM lahirkan PAN, pernah cuba kuasai PAS

    - Advertisement -

    KUALA KANGSAR: PAS pernah cuba dikuasai oleh JIM yang selepas itu berpecah menjadi IKRAM dan ISMA untuk menjadi sebuah parti politik semata-mata dan bukannya lagi gerakan Islam.

    - Advertisement -

    Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, tindakan tersebut berlaku daripada dalam PAS apabila ramai penggerak berasal daripada JIM masuk dalam parti ini.

    ‘Pendedahan’ beliau itu sebagai menjawab soalan peserta dalam slot Forum Tarbawi Mantan Ketua Pemuda pada Ijtimak Tarbawi 7.0 di Kem Kota Lama, Kampung Ngor, Sauk, di sini hari ini.

    Ceritanya, mereka itu memasuki PAS pada era reformasi sekitar tahun 1997 di mana wujud entiti dinamakan GERAK yang menghimpunkan NGO-NGO, tetapi kemudian GERAK diserap memasuki PAS.

    Ketika itulah menurut Ustaz Khalil, orang-orang JIM masuk sekali dalam PAS sehingga mereka turut menjadi calon PRU dan dilantik menjadi kepimpinan di pelbagai peringkat parti ini.

    Terangnya, usaha penguasaan itu diatur penuh terperinci, termasuk cuba mengekalkan PAS bersama Pakatan Rakyat di mana kegagalan perancangan tersebut akhirnya membawa kepada penubuhan PAN.

    Antara pernah berlaku juga cerita Ustaz Khalil, apabila Dr Dzulkifli Ahmad pada masa itu menulis artikel di Harakah untuk PAS mengikut sebagaimana parti sayap politik Ikhwanul Muslimin.

    Di mana melalui tulisan tersebut Dr Dzulkifli mahu PAS meniru cara parti tersebut melantik bukan-Islam ke jawatan Naib Presiden PAS sebagaimana orang Kristian Qibti dilantik parti sayap Ikhwan itu.

    “Maknanya mereka berusaha untuk memastikan PAS ini menjadi sebuah parti politik semata-mata, bukan gerakan Islam. Mereka terus buat kerja, buat kerja, ceritanya panjang.

    “Sehinggalah Muktamar 2014 di Johor Bahru, mereka buat satu move yang kuat dan besar untuk menyingkirkan Tok Guru Presiden dan kepimpinan ulamak PAS. Mereka buat kempen yang dahsyat, tetapi mereka gagal,” ujarnya mengimbas sejarah itu.

    Menurut Ustaz Khalil, PAN pada hari ini terdiri daripada tiga kumpulan besar iaitu IKRAM sebagai tulang belakang, kumpulan Mat Sabu dan kumpulan Salahuddin Ayub yang berasal daripada PAS.

    Bidasnya, walaupun PAN mendakwa menggantikan PAS, hakikatnya mereka tidak mempunyai hala tuju jelas perjuangan. – HARAKAHDAILY 16/11/2019

    - Advertisement -