Petugas bantu PN Melaka semangat di Sungai Bakap

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Menempuh perjalanan jauh tidak menghalang aktivitis PAS dari Melaka untuk membantu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.20 DUN Sungai Bakap yang bermula hari ini.

- Advertisement -

Dengan semangat yang tinggi mereka hadir beramai-ramai mengikut jadual bertugas ditetapkan oleh pihak Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka (BPPNM).

Salah seorang aktivis PAS Melaka terlibat, Ramlan Amad yang ditemui berkata, beliau tiba pada petang semalam bersama dengan rakan-rakan seperjuangan lain.

“Saya tengok semangat kawan-kawan yang datang dari Melaka ni berkobar-kobar. Bukan saja kali ni tetapi setiap kali kami dipanggil untuk membantu pilihan raya kecil.

“Itu yang seronok tu, untuk membantu parti agar parti kita ini terus maju dan dapat memenangi pilihan raya yang kita sertai ni,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Tangga Batu berkata demikian sewaktu proses penamaan calon di Dewan Serbaguna Jawi, di sini pagi tadi.

“Saya mewakili DUN Pantai Kundur dalam Parlimen Tangga Batu berharap agar kemenangan yang lepas dikekalkan. DUN Sungai Bakap ini tetap milik PERIKATAN NASIONAL (PN),” katanya.

Menurut beliau, seramai hampir 40 aktivis PAS dari Melaka hadir bertugas bagi membantu pilihan raya kali ini dengan gelombang pertama melibatkan kawasan Tangga Batu dan Masjid Tanah di UDM Ladang Sempah.

“Saya mengharapkan agar kali ini majoriti kita akan lebih tinggi dari yang sebelum ini di saat rakyat sedang dalam kesusahan akibat dasar-dasar kerajaan sekarang ini.

“Rakyat tidak ada pilihan lain melainkan kena undi PN sebagai protes kita kepada PH-BN yang sedang memerintah sekarang ni,” katanya.

Antara pimpinan PAS Melaka yang turut hadir pada penamaan calon pagi tadi ialah Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail dan Timbalan Pesuruhjaya, Bakri Jamaluddin.

Juga Setiausaha Perhubungan, Asri Shaik Abdul Aziz dan Pengarah Jabatan Pilihan Raya, Ir Hanim Abas dan Ketua Kontinjen PAS Melaka, Azmi Sambul. – HARAKAHDAILY 22/6/2024

- Advertisement -