Kenapa DAP dan PH campur tangan hal undang-undang?

Tanpa 'Kedaulatan Undang-undang', tiada 'Kesopanan dan Kesusilaan'

- Advertisement -

INSIDEN berlaku di premis sebuah restoran Cina di Taman Rasi Jaya, Menglembu, Ipoh, pada petang Rabu 16 April 2025.

Ketika pasukan penguatkuasa Majlis Bandaraya Ipoh sedang menjalankan operasi penguatkuasaan dipercayai melibatkan kesalahan meletakkan kerusi meja di tempat awam atau menyebabkan halangan Seksyen 46(1)(d) Akta 133 Jalan, Parit dan Bangunan (1974) berlaku kekecohan apabila pekerja restoran membantah dan menghalang operasi ini.

- Advertisement -

Menurut laporan sebuah akhbar, operasi penguatkuasaan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) terhadap sebuah restoran di Menglembu di sini, bertukar kecoh selepas seorang anggotanya didakwa ditumbuk oleh individu yang cuba menghalang tindakan sitaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 6:43 petang Rabu daripada seorang anggota penguat kuasa MBI berusia 40 tahun yang mendakwa menjadi mangsa kejadian berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati provokasi bermula apabila seorang pekerja restoran terbabit tidak berpuas hati dengan tindakan menyita kerusi dan meja premis berkenaan, susulan aduan daripada Jabatan Kesihatan MBI.

“Suspek bertindak mengeluarkan kata-kata kesat serta cuba menghalang anggota penguat kuasa daripada menjalankan tugas rasmi.
Pengadu turut memaklumkan salah seorang anggota penguat kuasa MBI ditumbuk oleh suspek,” katanya dalam kenyataannya, malam tadi.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 353 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.

Kita menyangkakan setelah laporan Polis dibuat dan pihak Polis pun mengesahkan menerimanya dan akan siasat semua akan ikut proses undang-undang, tiba-tiba semalam tular gambar dari beberapa portal berita berbahasa Cina dengan laporan kononnya kes selesai dan semua pihak setuju berdamai dengan pihak MBI akan menarik balik laporan Polis.

Bagaimana boleh jadi begini?

Video insiden ini telah tular dan diketahui rakyat. Penjawat awam dimaki hamun dengan kata-kata kesat dan lucah sehingga seorang anggota ditumbuk oleh pekerja restoran. Kekecohan dalam video yang tular laksana rusuhan.

Bolehkah mudah-mudah selesai?

Menurut laporan Facebook seorang Ahli Majlis DAP MBI:

(Terjemahan daripada tulisan asal dalam bahasa Cina) “17 April 2025 – Susulan kes semalam, tentang kejadian yang tidak diingini telah berlaku ketika operasi penguatkuasa MBI di salah satu kedai makanan, Taman Rasi Jaya, Menglembu. Saya bersama Ahli Parlimen Ipoh Timur, YB Howard, ADUN Jelapang, YB Cheah, ketua Whip Ahli Majlis MBI, CLR Wong, wakil EXCO YB Sandrea Ng, Cik Hong dan pihak kedai restoran bersama dengan Pengarah Penguatkuasa MBI, En Ahmad Zaiyadi mengadakan satu sesi perjumpaan pada awal pagi ini. Dan, dua-dua pihak telah berjabat tangan, dan mencapai perdamaian. Saya berharap selepas kejadian ini, kita haruslah sentiasa mengamalkan keharmonian dan mengelak daripada membiarkan emosi mengawal konflik yang tidak perlu. Saya juga berharap majoriti netizen berhenti menyebarkan maklumat palsu dan menimbulkan keresahan sosial. Sekian, terima kasih.”

Ulasan saya:
Tidakkah ini melibatkan salah guna kuasa? Pimpinan DAP PH termasuk MP, ADUN, ahli majlis dan wakil EXCO campur tangan membela pihak dituduh sehingga penjawat awam pula terpaksa tarik balik laporan Polis.
Kalau mahu kekalkan harmoni dan hapuskan keresahan rakyat, jangan ganggu operasi undang-undang. Jangan ganggu siasatan.

Berpegang teguh pada prinsip Rukunegara “Kedaulatan Undang-undang” barulah wujud “Kesopanan dan Kesusilaan”.

Jangan amalkan pendakwaan berpilih, jangan gunakan kuasa melindungi pesalah.

ROSLAN SMS – HARAKAHDAILY 18/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!