UMANY: Mohon maaf dipertikai, gesa diharamkan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Permohonan maaf oleh Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (UMANY) disifatkan umpama madu bersalut racun, demikian bidas Penganalisis Politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff.

Katanya, permohonan maaf itu tidak patut dilayan memandangkan ia tidak lebih daripada tindakan terdesak UMANY sebagai pihak yang sedang tersepit kerana masih membuat tuntutan berkait Yang di-Pertuan Agong.

Beliau yang juga Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) menyatakan bahawa tindakan UMANY itu adalah ‘bermata dua’ dan mahu hukuman berat sewajarnya diberikan sebagai pengajaran kepada mereka.

- Advertisement -

“Disebabkan permohonan maaf (itu dinyatakan) adalah atas “kekurangan pemahaman mereka terhadap Perlembagaan”, UMANY seharusnya menyatakan komitmen untuk mempelajari Perlembagaan.

“Dan mengelakkan diri dari membuat sebarang komen mengenai Perlembagaan sehingga mereka sudah benar-benar faham Perlembagaan, tetapi ini malangnya tidak mereka lakukan.

“Disebabkan permohonan maaf adalah pengakuan mengenai perlakuan salah, UMANY seharusnya menyatakan kekesalan atas perlakuan salah ini dan menyatakan kesediaan untuk menerima apa-apa hukuman ke atasnya.

“Atau paling tidak membuat rayuan supaya hukuman ke atas mereka dapat diringankan atas faktor tertentu, tetapi ini malangnya tidak juga mereka lakukan,” ujar beliau merujuk permohonan maaf UMANY yang dikatakan setelah merujuk ‘nasihat daripada ahli-ahli pakar Perlembagaan’.

Kumpulan mahasiswa itu sebelum ini bukan sahaja memuat naik sebaran mengenai demonstrasi di Thailand yang dilihat berunsur hasutan, malah juga kenyataan bahawa ‘YDPA tidak wajar masuk campur urusan hal ehwal negara’.

Menurut Dr Kamarul, permohonan maaf seharusnya dibuat dengan seikhlas hati tanpa pengenaan sebarang syarat mahupun apa-apa tuntutan kepada pihak yang mereka mohon maaf, tetapi malangnya tidak dilakukan UMANY.

Sebaliknya kesali beliau, UMANY dalam memohon maaf itu menuntut pihak polis menghentikan segala siasatan terhadap ahli-ahli mereka di samping menuntut pemansuhan Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia yang dikata ‘undang-undang zalim’ oleh mereka.

Kata Dr Kamarul, jelas bahawa UMANY kini mengakui telah melakukan kesalahan di sudut undang-undang, namun motif memohon maaf itu untuk mengelakkan dari dikenakan tindakan undang-undang.

“Mengakui tidak faham perlembagaan itu adalah satu perkara yang bagus, tetapi ia bukanlah satu alasan yang membolehkan tindakan tidak diambil ke atas pencabulan Perlembagaan.

“Hukuman berat wajar dikenakan ke atas UMANY bagi memberi pengajaran kepada mereka dan pihak-pihak yang sealiran dengan mereka mengenai kepentingan memahami dan mendaulatkan Perlembagaan,” gesa beliau.

Tambah Dr Kamarul, UMANY wajar diharamkan dan ahli-ahlinya dibuang dari Universiti Malaya (UM) kerana selain daripada kenyataan biadab terhadap YDPA, mereka juga sebenarnya telah turut mencemarkan dengan teruknya nama UM.

Jelas beliau, ia apabila UM mengeluarkan kenyataan untuk menyiasat, UMANY telah mengeluarkan satu kenyataan balas bagi mengutuk UM dengan khususnya mendakwa UM hanya mengejar kedudukan di dunia semata-mata.

UM juga kata mereka telah pun menindas kebebasan akademik secara terbuka dan hanya cantik di luar tetapi buruk di dalam, selain tindakan ini akan terus menjadikan UM sebagai bahan ketawa seluruh dunia.

“Sebagai rekod, UMANY tidak pernah menarik balik kenyataan lancangnya ini dan tidak pernah memohon maaf daripada UM atas kenyataannya ini.

“Tak tahu apa nak katalah kalau UM mahu terus menyimpan persatuan dan orang biadab seperti ini di dalam kampusnya,” ujar Dr Kamarul. – HARAKAHDAILY 13/11/2020

- Advertisement -