Kebakaran tanah gambut di Johor berjaya dipadamkan

Foto hiasan.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) memaklumkan bahawa kejadian kebakaran tanah gambut di dua kawasan di Johor iaitu di Parit Juno dan Parit Jawa pada 19 Mac lalu berjaya dipadam sepenuhnya.

- Advertisement -

Kawasan dalam Mukim Ayer Hitam Muar dengan anggaran keluasan yang terbakar itu seluas 10 ekar dan 4 ekar telah dapat dipadamkan dan tiada lagi asap atau bara dikedua-dua kawasan berkenaan.

“Mereka yang disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

“(Ini) di bawah Seksyen 29(A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan.

“Siasatan JAS Negeri Johor mendapati kawasan yang terbakar adalah kawasan belukar yang masih belum digunakan untuk tujuan pertanian.

“Pihak JAS masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti pemilik tanah yang terlibat dengan bantuan daripada Pejabat Tanah Muar bagi memastikan tindakan tegas dapat diambil,” ujar kenyataan itu.

Pemantauan lanjut kualiti udara oleh JAS melalui stesen pemantauan kualiti udara terdekat iaitu stesen Batu Pahat dengan jarak 20 kilometer daripada lokasi kebakaran menunjukkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di tahap Baik (IPU 34).

JAS turut mengingatkan semua pihak agar tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Terutama sehingga menyebabkan berlakunya pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja. – HARAKAHDAILY 23/3/2020

- Advertisement -