KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ir Ahmad Samsuri Mokhtar menyangkal dakwaan kononnya negeri itu terlalu bergantung kepada royalti petroleum daripada Kerajaan Persekutuan.
Menurut beliau, masih wujud segelintir pihak yang tidak faham atau sengaja berpura-pura tidak faham berkenaan kedudukan dan hak negeri dalam sistem federalisme.
“Apabila kita memperjuangkan isu royalti petroleum, mereka memperlekeh kononnya kita mengemis ihsan Kerajaan Persekutuan, seolah-olah kita selalu dan terlalu bergantung kepada Kerajaan Persekutuan.
“Hal ini jelas pendirian kita, bahawa royalti petroleum adalah hasil hak negeri, walaupun ada pihak dalam kalangan rakyat Terengganu sendiri yang seolah menafikan hasil bumi bertuah ini.
“Lebih tersasar, apabila mereka memburuk-burukkan kita kononnya kita tiada usaha untuk berdikari mencari hasil lain, untuk mengurangkan kebergantungan kepada hasil royalti.
“Oleh yang demikian, saya fikir elok juga saya perjelaskan perkara berkenaan di sini,” katanya semasa sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, hasil cukai dan bukan cukai negeri meningkat secara konsisten sejak 2008, dengan purata RM189.1 juta (2008–2013), RM234.9 juta (2014–2017), dan melonjak kepada RM256 juta bagi tempoh 2018 hingga 2024.
“Dalam masa sama, peratusan kebergantungan terhadap royalti petroleum semakin menurun daripada 83.9 peratus (2008–2013) kepada 81.3 peratus (2014–2017), dan seterusnya 75.7 peratus bagi tempoh 2018 hingga 2024,” jelasnya.
Ahmad Samsuri berkata, pertumbuhan ekonomi negeri juga terus menunjukkan trend positif meskipun berdepan cabaran global seperti pandemik dan ketegangan geopolitik.
“Ekonomi negeri kita bertumbuh secara purata RM22 bilion bagi tempoh 2008 hingga 2013 dan RM31 bilion bagi tempoh 2014 hingga 2017.
“Manakala bagi tempoh 2018 hingga 2023, ia meningkat kepada RM35.9 bilion; walaupun berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi di peringkat global sepanjang tahun 2020 hingga 2023 akibat pandemik Covid-19 dan perang,” katanya.
Bagaimanapun, kata Ahmad Samsuri, dengan kenyataan yang dikeluarkan itu beliau tidak bermaksud untuk membandingkan dengan mana-mana pemimpin kerajaan parti lain sebelum ini.
“Sesungguhnya kerajaan sebelum 2018 juga, telah memainkan peranan dan memberikan sumbangan yang sesuai dengan keperluan dan cabaran yang dihadapi pada zaman masing-masing dan tentunya ada kelemahan mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/4/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!