COVID-19: Usaha pencegahan tanda takut kepada Allah

- Advertisement -

TERDAPAT sebahagian daripada umat Islam yang tidak dapat menerima Perintah Kawalan Pergerakan yang telah diisytiharkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). Perintah ini juga selari dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) pada 15 Mac 2020 yang menetapkan penangguhan solat berjemaah dan Jumaat di masjid atau surau.

- Advertisement -

Antara hujah-hujah yang digunakan ialah perlu takutkan Allah berbanding takutkan COVID-19. Tiada dalam sejarah awal umat Islam bahkan di kalangan fuqaha’ yang terdahulu yang melarang solat berjemaah dan Jumaat kerana disebabkan oleh penyakit berjangkit. Terdapat pelbagai hujah lagi yang dikemukakan untuk mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan yang ditetapkan.

Perlu difahami bahawa takutkan kepada Allah adalah sifat takwa yang mesti dibuktikan melalui perlaksanaan perintah Allah S.W.T. Tiada gunanya menyebut di mulut takutkan Allah tetapi dalam masa yang sama melanggar perintahNya. Ibn Rejab al-Hanbali (2004) dalam kitabnya Jami’ul ‘Ulum wal Hikam menyatakan bahawa maksud asal takwa ialah seseorang hamba menjaga dirinya daripada orang yang ditakutinya. Takwa hamba kepada Tuhannya ialah menjaga dirinya daripada perkara-perkara yang ditakuti daripada Allah seperti kemarahan, kemurkaan dan balasanNya iaitu dengan mentaati perintah dan meninggalkan larangan-Nya.

Dalam konteks COVID-19, usaha pencegahan daripada penyakit berjangkit adalah perintah daripada Allah s.w.t dan tanda takut kepadaNya. Firman Allah S.W.T.:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
“Janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan” (al-Baqarah: 195)

Syeikh Muhammad Rasyid Redha dalam tafsirnya menyebut bahawa haram bagi orang mukmin apatah lagi secara berjemaah secara sengaja mencampakkan diri mereka ke dalam bahaya kebinasaan dengan usaha dan pilihan mereka. Wajib ke atas mereka menghindari sebab-sebab yang boleh membawa kebinasaan sama ada dengan melakukan atau meninggalkannya.

Jelasnya, wajib ke atas orang Islam menghindari sebab-sebab yang boleh menjangkiti atau dijangkiti COVID-19 yang diketahui boleh membawa maut. Langkah-langkah yang diambil dalam Perintah Kawalan Pergerakan seperti larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan di masjid atau surau, sukan, sosial dan budaya adalah usaha-usaha untuk menghindari penyakit tersebut daripada berjangkit dan makin merebak.

Langkah-langkah yang diambil ini adalah selari dengan kaedah: تصرف الإمام منوط بالمصلحة . “Tindakan pemimpin ke atas rakyat berdasarkan kepada maslahat” (Ibn Nujaim, 1999). Ia juga adalah berdasarkan kepada nasihat pakar kesihatan yang diperintahkan oleh Allah untuk kita merujuknya sebagaimana firmanNya:

فَسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
“Maka bertanyalah kamu kepada ahli zikr jika kamu tidak mengetahui” (al-Anbiya’: 7).

Imam al-Maraghi (1946) menafsirkan ahli zikr sebagai pakar yang membuat kajian berdasarkan dalil dan bukti. Justeru, menjadi kewajipan kepada kita sebagai hamba yang takut kepada Allah S.W.T. untuk melaksanakan perintah-Nya agar berusaha menghindarkan penyakit yang boleh membawa kepada kebinasaan apatah lagi menyebabkan kematian. Menjaga nyawa adalah salah satu daripada maqasid syar’iyyah (tujuan syariat diturunkan).

Adapun hujah bahawa tiada dalam sejarah awal umat Islam atau pandangan fuqaha’ yang terdahulu yang melarang solat berjemaah dan Jumaat kerana disebabkan oleh penyakit berjangkit, pandangan ini tertolak kerana sesuatu yang tiada tidak semestinya dibenarkan. Bahkan mengikut Imam Az-Zahabi (2006), perkara ini pernah belaku pada zaman kerajaan Abbasiyyah di bawah pemerintahan Abu Jaafar Abdullah bin al-Qadir billah apabila masjid-masjid dikunci kerana berlakunya wabak penyakit pada waktu tersebut.

Para fuqaha’ juga seperti Qadhi ‘Iyadh telah membawa pendapat ulamak yang telah melarang orang yang berpenyakit kusta dan sopak daripada hadir ke masjid-masjid dan bergaul dengan orang ramai (Al-Bujairami, 1950). Penyakit kusta dan sopak adalah penyakit berjangkit sebagaimana COVID-19. Walaupun larangan tersebut kepada orang yang berpenyakit berjangkit sahaja tetapi dalam konteks COVID-19, pembawa penyakit tidak diketahui dan virus tersebut boleh hidup dalam tempoh tertentu pada sesuatu benda atau di udara. Maka bagi mengelakkan ia berjangkit dan merebak, orang ramai yang mungkin terdedah dengan penyakit tersebut turut dilarang untuk hadir ke masjid.

Terdapat hadis Rasulullah s.a.w. yang bersabda: لَا يُورِدَنَّ مُمْرِضٌ عَلَى مُصِحٍّ. Maksudnya: “Janganlah yang sakit dicampurbaurkan dengan yang sihat” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Di samping itu baginda bersabda: وفر من المجذوم كما تفر من الأسد. Maksudnya: “Larilah daripada orang yang berpenyakit kusta seperti kamu lari daripada singa” (Riwayat Bukhari). Begitu juga Rasulullah S.A.W bersabda: لا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ . Maksudnya: “Tidak boleh berbuat mudharat dan hal yang boleh menimbulkan mudharat” (Riwayat Ibn Majah dan Ahmad). Hadis-hadis ini menjadi dalil larangan solat berjemaah dan Jumaat di masjid atau surau.

Kalau pun mungkin di sana ada pelbagai pandangan tentang perkara ini dengan membawa pelbagai hujah, kaedah حكم الحاكم يرفع الخلاف. Maksudnya: “Hukum atau ketetapan pemerintah adalah mengangkat khilaf” (Al-Baquri, 1994) adalah terpakai. Pemerintah mempunyai hak untuk memilih pendapat daripada perbezaan di kalangan ulamak dan umat Islam wajib mematuhinya.

DR AHMAD MOUHYIDEEN HASIN
Pengarah Institut Kajian Islam dan Strategik (iKIS)
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 20/3/2020

- Advertisement -