DUN Jitra adakan kelas Bahasa Inggeris percuma

- Advertisement -

KUBANG PASU: Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Jitra telah menyediakan kelas Bahasa Inggeris percuma kepada para pelajar sekitar DUN berkenaan khususnya dalam kalangan keluarga kurang berkemampuan.

- Advertisement -

Majlis pelancaran kelas tersebut telah disempurnakan oleh ADUN Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah yang juga bekas ahli akademik berpengalaman dalam majlis yang diadakan di Masjid Al-Muhsinin Telok Malek, Jitra, di sini semalam.

“Kelas Bahasa Inggeris percuma itu diadakan khusus kepada para pelajar dari keluarga B40 dan beroperasi pada Jumaat minggu kedua serta ketiga setiap bulan,” jelasnya mengenai kelas terbabit yang setakat ini telah menerima pendaftaran seramai 75 pelajar.

Haim yang juga Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah memaklumkan, kelas Bahasa Inggeris percuma julung kali diadakan di DUN Jitra itu merupakan salah satu aktiviti di bawah program Jitra Didik.

Di mana, di bawah Jitra Didik juga katanya, terdapat pelbagai aktiviti pendidikan yang memberikan kesan baik serta bermanfaat kepada masyarakat dijalankan secara terancang.

“Menguasai Bahasa Inggeris merupakan satu keperluan untuk mendapat tempat di universiti terbaik. Kita juga selalu dengar ilmu merupakan pelita hidup jadi kita sebenarnya mampu pilih seterang mana pelita yang kita mahukan.

“Jika ilmu kita banyak, pasti manfaat cahaya pelita kita dan cahayanya akan sampai ke seluruh kampung, bandar, negeri mahupun negara,” tambah beliau.

Dalam pada itu beliau turut merakamkan penghargaan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kedah/Perlis, atas kesudian menjadi rakan strategik bagi kelas Bahasa Inggeris percuma yang diadakan tersebut.

Penghargaan beliau juga kepada badan bukan kerajaan (NGO) Raqila Insani dan Majlis Ketua Kampung (MKK) Telok Malek, Kampung Budi dan Kampung Paya Menyabong.

Termasuk dihargai beliau adalah kerjasama menjayakan program berkenaan oleh pihak Masjid Al-Muhsinin Telok Malek. – HARAKAHDAILY 14/5/2024

- Advertisement -