Menang kalah digilir Allah SWT kepada umat manusia

BN yakin dapat 18,000 undi PRK Ayer Kuning?

- Advertisement -

TAPAH: Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato’ Rosli Abdul Jabar menyatakan pendirian bahawa keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu diserahkan kepada rakyat, sambil mengingatkan bahawa kemenangan dan kekalahan adalah suatu penggiliran yang ditentukan Allah SWT.

Beliau menyatakan perkara itu menerusi media sosial miliknya, yang turut memaparkan sekeping gambar menunjukkan keyakinan Barisan Nasional (BN) untuk memenangi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) N.48 Ayer Kuning.

Katanya, meskipun lazimnya parti yang memerintah lebih mudah meraih kemenangan dalam mana-mana PRK, tidak mustahil keputusan yang sebaliknya berlaku dan penggiliran menang kalah dari Allah sebagai pengajaran dan ujian keimanan.

“Kita tunggu, tengok berapa undi dia dapat. Sememangnya menjadi kebiasaan parti memerintah lebih mudah untuk menang di dalam mana-mana PRK. Namun ada juga berlaku yang disebaliknya, semuanya telah dijelaskan oleh Allah SWT di dalam Al-Qur’an,” katanya.

Terdahulu media tempatan melaporkan bahawa Timbalan Perdana Menteri yakin BN mampu menang semula DUN Ayer Kuning dengan sokongan Kerajaan PH-BN, manakala BN Perak menyasarkan 18,000 undi pada PRK 26 April ini.

“Jika kamu (pada Perang Uhud) mendapat luka, maka mereka pun (pada Perang Badar) mendapat luka yang serupa. Dan masa (kemenangan dan kekalahan) itu, Kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran).

“Dan agar Allah membedakan orang-orang yang beriman dan agar sebahagian kamu dijadikan-Nya (gugur sebagai) syuhada. Dan Allah tidak menyukai orang-orang zalim,” katanya yang juga ADUN Tanjung Lumpur memetik firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran, ayat 140.

Menurutnya, penggiliran antara kesenangan dan kesusahan, menang dan kalah adalah keputusan yang mengandungi hikmah untuk manusia bermuhasabah serta sebagai kayu ukur tahap keimanan kepada Allah SWT.

“Banyak parti-parti yang kuat tiba-tiba jatuh dalam keadaan mereka sedang berkuasa termasuklah pemimpin-pemimpin yang sekian lama berkuasa tumbang secara tiba-tiba.

“Bukan sahaja pemerintahan yang tidak berteraskan Islam, malah kerajaan Othmaniah yang memerintah selama 600 tahun juga akhirnya tumbang pada tahun 1924,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa dalam apa jua keadaan — sama ada menang atau kalah, memerintah atau tidak — umat Islam tidak boleh berlaku zalim kerana golongan zalim amat dibenci Allah SWT.

“Kita sama-sama berdoa, jika menang kita bersyukur, jika sebaliknya kita bersabar dan bermuhasabah untuk memperbaiki dan terus membina kekuatan sehingga sampai satu masa untuk kita perolehi kemenangan,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/4/2025

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!