Segalanya mahal di Terengganu?

- Advertisement -

“YB! Sebab apa di Terengganu segala-galanya lebih mahal dari negeri lain? YB tolong turun tengok sendiri keadaan rakyat.”

Saudaraku… Ambil buah sebakul jangan jual belaka. Pilih dulu mana yang masak dan mana yang putik. Mana yang elok dan mana yang buruk. Jual mana yang baik dan buanglah yang buruk. Buah putik kena peram dulu biar masak.

Saya sejak berbelas tahun dulu lagi bermusafir ke serata negara sampai ke Sabah dan Sarawak untuk kerja-kerja politik, dakwah dan tarbiyah. Semua negeri saya dah sampai. Desa, kampung, pekan, bandar dan kota. Apa yang sempat saya perhatikan, saya rakam dalam memori ingatan.

Semua tempat ada benda mahal dan ada yang lebih murah dari tempat lain. Faktornya pelbagai. Kalau kita belajar sikit teori ekonomi berkaitan kitaran pengeluaran produk dari pengeluar sehingga sampai kepada pengguna termasuk juga faktor pengeluaran dan permintaan, maka kita akan faham tanpa perlu jadi pakar ekonomi untuk memahaminya.

- Advertisement -

Bila dipertanggungjawabkan sebagai Exco Pertanian, saya lebih hadam akan situasi sebenar di lapangan. Contohnya, Terengganu sebagai negeri pengeluar utama tembikai dan duku dalam negara. 1,000 hektar tanah di Terengganu ditanam tembikai. Maka rakyat Terengganu menikmati harga tembikai yang lebih murah dari negeri lain. Ketika kemuncak musim pengeluaran tembikai, kira-kira 40 buah lori sehari akan keluar dari Terengganu untuk membawa hasil tembikai ke pelbagai destinasi seluruh negara. Buah Duku Terengganu sedia dimaklumi berapa harga yang dinikmati warga Terengganu berbanding negeri lain.

Ikan dari Terengganu banyak yang dihantar ke Lembah Kelang dan ada juga yang sampai ke Singapura. Adakah munasabah ikan ini menjadi lebih murah bila sampai ke Lembah Kelang atau Singapura berbanding dengan tempat ia mendarat di Terengganu? Kalau ia dijual dengan harga yang lebih murah di sana, buat apa susah-susah nak hantar jauh sedangkan rakyat Terengganu mampu beli dengan harga yang lebih mahal sebagaimana didakwa. Untuk makluman juga, di samping ikan tangkapan nelayan, Terengganu antara negeri pengeluar utama ikan dari industri penternakan akuakultur seperti siakap dan kerapu hibrid. Pasaran utama ialah sebelah Utara serta Lembah Kelang termasuk juga yang dieksport ke Taiwan.

Buah-buahan kita seperti Rock Mellon dan jagung hibrid sebahagiannya dihantar untuk pasaran di Cameron Highlands (CH). Mungkin jagung yang anda beli di CH ialah jagung keluaran Alor Ketitir Marang. Sekali lagi tak logik dari segi teori ekonomi, jagung dan Rock Mellon akan jadi lebih murah di luar berbanding dengan harga di Terengganu.

Ada keperluan seperti ayam, keluaran dalam negeri Terengganu kita tak cukup untuk Self Sufficient Level (SSL). Maka ia perlu dibawa dari negeri lain. Antaranya Kedah dan Perak. Saya yakin negeri yang kukuh dari segi industri penternakan ayam seperti Perak dan Kedah, harga ayam akan lebih murah.

Daging lembu di Kelantan sedikit murah berbanding Terengganu kerana peniaga daging di Kelantan boleh mendapat bekalan lembu dengan mudah dan dekat dari Thailand sebagai sokongan kepada sumber lembu ternakan tempatan sedia ada. Purata beza harga daging antara Kelantan dan Terengganu kira-kira RM1 bagi setiap kilogram.

Harga sayur-sayuran tak jauh sangat beza antara Kelantan dan Terengganu. Daerah Besut dan Setiu mengambil bekalan sayur-sayuran dari RTC Kelantan yang dibawa dari Thailand sebagai tambahan bekalan keluaran tempatan. Petani di Terengganu sendiri banyak mengeluarkan sayur-sayuran.

Tanah sawah Terengganu ada seluas kira-kira 12,000 hektar. Majoritinya mengusahakan padi 2 kali setahun. Tampungan SSL kira-kira 43 peratus keperluan negeri. Baki keperluan beras dibawa dari luar antaranya Thailand dan Vietnam serta Kedah.

Saya bentangkan di sini beberapa contoh kelebihan dan kekurangan yang kita miliki serta bagaimana ia mempengaruhi rantaian pasaran hasil sektor pertanian.

YB DR AZMAN IBRAHIM
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu – HARAKAHDAILY 19/5/2020

- Advertisement -