Isu kandang babi bukan perkauman, tapi kesihatan

- Advertisement -

TAPAH: Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali menegaskan isu penternakan babi yang beroperasi di sekitar Ayer Kuning sehingga mengganggu penduduk setempat bukanlah isu perkauman.

- Advertisement -

Menurut beliau, ia sebaliknya merupakan isu yang melibatkan kesihatan dan alam sekitar di mana boleh mengakibatkan pencemaran bau dan juga risiko penyakit berjangkit.

“Saya yakin dan percaya orang Tionghua di Ayer Kuning ini adalah orang yang bijak. Mereka ini banyak pengalaman, mereka dah lama di sini. Isu yang dibawa ialah masalah yang timbul disebabkan kandang babi.

“Iaitu yang berdekatan di Kampung Tanjung Keramat ini yang mana majoritinya ialah 98 peratus orang Melayu. Saya difahamkan di Kampung Poh yang merupakan perkampungan masyarakat Cina.

“Tetapi orang Cina sendiri yang tidak menerima satu proposal untuk mewujudkan kandang babi di kampung majoriti Cina,” katanya ketika ditemui Harakahdaily, di sini, hari ini.

Tambah Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat itu, kerajaan negeri perlu menguruskan isu berkenaan dengan baik khususnya melibatkan ladang babi yang beroperasi secara haram.

“Ini bukan berlaku di Ayer Kuning sahaja, ia juga berlaku di Pulau Pinang, di Selangor pun ada, di Negeri Sembilan dulu pun ada. Ini bukan di Ayer Kuning sahaja.

“Jadi, apa yang disyorkan ialah kalau nak dirikan kandang babi, kami di PAS dan Islam sendiri tidak mengharamkan orang Cina nak makan babi, orang yang bukan-Islam nak makan babi, tidak.

“Ataupun membela babi dan sebagainya. Tetapi ia perlu diwujudkan satu kawasan yang sistematik, yang tidak mengganggu penduduk lain, itu sahaja,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!