KUALA KEDAH: Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kedah/Sungai Anak Bukit yang sedang dalam pembinaan diharap dapat menyediakan sama laluan alternatif di Kampung Bohor, di sini.
ADUN Anak Bukit, Rashidi Razak berkata, laluan itu perlu bagi membolehkan nelayan darat Kampung Alor Madi, Alor Ganu dan Kampung Pasir serta sekitarnya menangkap ikan, udang dan lain-lain di sungai tersebut.
Menurutnya, Sungai Alor Madi dan Sungai Anak Bukit itu ketika ini menjadi laluan nelayan darat untuk tujuan tersebut, tetapi jika tandop menghubungkan dua sungai itu ditutup, maka mereka akan hilang punca rezeki.
“Bila tandop di sungai RTB tu siap. Laluan dari Sungai Alor Madi dan Sungai Anak Bukit akan ditutup dan nelayan darat ini akan putus hubungan untuk ke sungai RTB menangkap ikan, udang atau sebagainya,” kata beliau kepada Harakahdaily, semalam.
Sebelum ini jelasnya lagi, pihaknya bersama nelayan darat telahpun melepaskan anak-anak ikan dan udang sebagai ternakan ke sungai RTB berkenaan.
“Kita mengharapkan laluan alternatif dibuat untuk membolehkan nelayan darat untuk terus menangkap ikan di sungai RTB apabila tandop itu siap nanti.
“Sungai RTB itu menjadi sumber pendapatan kebanyakan nelayan darat di beberapa kampung di sini,” ujarnya lagi.
Rashidi juga berusaha mengadakan perbincangan bersama Exco Kerajaan Negeri Kedah serta beberapa agensi berkaitan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membantu menyelesai masalah berkenaan.
“Saya harap masalah nelayan darat ini akan didengari dan mendapat perhatian dari pihak berkaitan,” tambahnya lagi.
Projek RTB Sungai Kedah/Sungai Anak Bukit yang dilaksanakan bagi mengatasi masalah banjir di Bandar Raya Alor Setar dan Jitra dijangka siap sepenuhnya pada September depan.
Projek itu juga diadakan untuk mengatasi masalah limpahan air berpunca dari tiga sungai utama iaitu Sungai Baru, Sungai Tanjung Pauh dan Sungai Anak Bukit yang melalui kawasan penduduk, tama perumahan, kampung dan industri. – HARAKAHDAILY 1/6/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!