Pusat sengaja sekat kemajuan pesat diusaha Kedah?

Pukul membabi buta, sasaran tidak mengena, diri sendiri cedera

- Advertisement -

KERAJAAN Negeri Kedah, di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi sedaya-upaya dimomokkan oleh para pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan penyokong-penyokong mereka, kononnya gagal mentadbir serta mengurus pemerintahan.

Malah ada juga kata-kata ‘nakal’ kononnya pemimpin Kerajaan Kedah hanya umum projek besar tapi hasilnya tiada.

Sama ada pihak yang mudah mengeluarkan dakwaan tidak berasas itu tidak merujuk media atau tidak ambil hal, mungkin juga tidak tahu langsung atau sebenarnya tahu, tetapi sengaja bersikap cari pasal kerana hasad dan dengki.

Apa jua anggapan mahupun tohmahan, realitinya Kedah di bawah pemerintahan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Sanusi, terus mencipta kejayaan dan pembangunan, juga melaksanakan pelbagai agenda kebajikan rakyat.

Banyak projek besar yang boleh dikategorikan sebagai projek mega atau berimpak tinggi, Kerajaan Negeri Kedah telah mengkaji dan meneliti dengan sebegitu rapi dan teliti, sebaik sahaja kerusi Menteri Besar, diduduki Sanusi pada 17 Mei 2020 lagi.

Mana-mana program atau projek yang belum terlaksana, tetapi sudah diluluskan ketika pentadbiran kerajaan sebelumnya, serta memberi impak kepada rakyat, tetap diteruskan, sekali gus mengenepikan ‘prejudis’ kepartian. Tiada sama sekali budaya cantas-mencantas sebagaimana amalan politik seperti sebelum itu.

Beberapa projek mega seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dan Kedah Aerotropolis, Kedah Rubber City (KRC), litar lumba serta pembangunan Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) Bukit Kayu Hitam, Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) dan lain-lain, diteruskan dan diperkasakan.

Dalam pada itu, sebaik sahaja pentadbiran Kedah beralih tangan daripada Pakatan Harapan (PH) hampir lima tahun lalu, projek naik taraf lima Loji Rawatan Air (LRA) dan pembaikan saluran paip, mula digerakkan. Intervensi itu untuk mengatasi masalah bekalan air di negeri ini yang telah berlarutan sejak puluhan tahun, malah tertangguh lebih dua tahun di bawah pentadbiran PH.

Usaha-usaha drastik demi kepentingan rakyat ini atas daya kebolehan seorang Menteri Besar berjiwa rakyat serta berpandangan jauh untuk menaik taraf, tahap kehidupan negeri yang berada di tangga kedua termiskin dalam negara.

Seperti kata Sanusi, Kedah banyak aset tersendiri, kaya dengan khazanah alam, sungai hutan, tanah yang subur dan lain-lain, namun semuanya itu terpaksa dikorbankan demi kepentingan orang lain.

Kejayaan menjadi negeri pilihan para pelabur luar negara untuk melabur di negeri bertuah ini, menjadikan Kedah antara paling atas dengan nilai pelaburan sebanyak RM32.6 billion dalam sektor pembuatan pada tahun 2024. Kedah juga tampil sebagai negeri paling atas menerima pelaburan tertinggi yang diluluskan pada suka tahun pertama 2024 dengan nilai RM31.31 billion.

Lewatkan permohonan kelulusan

Dalam kepesatan pertumbuhan ekonomi Kedah serta kelangsungan untuk meningkatkan pendapatan kasar (KDNK) negeri, beberapa projek berskala besar, termasuk KXP dan KRC tidak berjalan seperti mana yang dijadualkan.

Projek yang memerlukan kebenaran Kerajaan Persekutuan itu ‘tergendala’ di simpang apabila berlaku pertukaran kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 lalu, dari PN ke PH, di mana sehingga kini belum dapat dibangunkan.

Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli selepas hadir ke Kedah baru-baru ini mendakwa pelaksanaan projek di Kedah yang tergendala bukan berpunca daripada Kerajaan Persekutuan, sebaliknya masalah membelenggu kerajaan negeri itu sendiri.

Sedangkan dalam kenyataan Sanusi, pihaknya telah beberapa kali mengemukakan permohonan memohon persetujuan untuk pembinaan KXP daripada Kerajaan Persekutuan, termasuk projek Kedah Aerotropolis yang dirancang sebelum ini.

KXP telah melibatkan pelbagai kepakaran serta minat penyertaan dari banyak pihak swasta selain akan dibiayai secara inisiatif persendirian jikapun Kerajaan Persekutuan enggan memberi RM6 bilion dipohon pinjam, sedangkan negeri jiran yang dipijak Kedah iaitu Pulau Pinang menerima hampir RM20 bilion untuk beberapa projek infrastruktur.

Permohonan kebenaran itu telahpun dibuat secara rasmi kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan pembentangan mengenai projek itu juga telah dibuat pada mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) sejak dan pada Ogos dan November 2020.

Permohonan rasmi juga dibuat kepada dua Perdana Menteri untuk dibawa ke Mesyuarat Kabinet, selain turut diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) bagi penelitian Unit Kerjasama Awam dan Swasta (UKAS).

Malah menurut Menteri Besar itu sendiri, pihaknya tidak berhasrat untuk membuat pinjaman dari Kerajaan Persekutuan sebaliknya akan menjayakan projek tersebut atas dana lain. Namun kesungguhan Kerajaan Negeri Kedah dianggap enteng serta dipermainkan dalam sidang Dewan Rakyat oleh beberapa pemimpin Kerajaan Madani, sebelum ini.

Begitu juga dengan pembangunan KRC di Padang Terap, merupakan projek ikonik yang bukan sahaja membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, tetapi mampu menaik taraf kehidupan penduduk di daerah itu utara Kedah itu.

Namun sehingga kini, projek yang sepatutnya dikendalikan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), terus menyepi diri, walhal bidang tanggungjawab Kerajaaan Negeri berkaitan tanah dan sumber air, telah diselesaikan pentadbiran Sanusi.

Seperti dakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Darul Aman, Teh Swee Leong, kononnya KRC dikelilingi semak samun tanpa dibangunkan, sedangkan beliau sendiri maklum, pihak mana yang bertanggungjawab penuh pada projek tersebut.

Rata-rata terutama pemimpin PH tampil menjadi ‘hero’ dengan ‘menangguk di air keruh’ mempertikai berkenaan projek ikonik mega yang dikendalikan oleh syarikat swasta, kononnya kebanyakan menarik diri dan akhirnya projek itu gagal dilaksanakan.

Namun dalam masa yang sama, mereka seperti buat-buat lupa, peranan   ‘grand design’ dan ‘the little napoleon’ yang tidak pernah berhenti ‘bekerja’ untuk menjatuhkan Sanusi sekali gus kerajaan negeri di bawahnya gagal.

Sebagai contoh, keputusan Bin Zayed International Group of Companies (BZI) menarik diri daripada projek Langkasuka di Langkawi, bernilai RM40 bilion, antara sebabnya menerima tekanan dan sekatan sehingga bertindak sedemikian.

“Saya pun tahu syarikat-syarikat terbabit di Kedah ini akan dikenakan tekanan, macam-macam sekatan dan saya tahu dia kena apa tapi saya tak mahu ulang dia kena apa.

“Mungkin tak sesuai saya sebut dalam dewan ini tapi ada ‘grand design’ (perancangan besar) untuk menggagalkan banyak projek-projek yang diambil oleh inisiatif swasta,” kata Sanusi pada Sidang Bajet 2025 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, baru-baru ini.

Walau bagaimanapun, pembatalan atau penarikan diri atas projek-projek swasta itu tidak merugikan Kerajaan Negeri Kedah kerana perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat swasta terbabit

Rafizi juga ada menyebut, bukan sekali tetapi berkali-kali berkenaan isu notis perubahan atau NOC untuk Fasa 5 KHTP, tetapi agak berbeza sepertimana yang dibentangkan oleh kerajaan negeri.

Menteri Ekonomi itu seolah-olah mahu ‘membelasah’ Kerajaan Negeri Kedah, tetapi peliknya tidak disebut secara berhadapan ketika program Libat Urus bersama Menteri Besar, Ahli Mesyuarat Kerajaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan agensi kerajaan, di Dewan Seri Mentaloon, baru-baru ini.

Sedangkan beliau juga berpeluang untuk ‘serang’ Sanusi atau Kerajaan Negeri Kedah sewaktu Menteri Besar bangkitkan isu itu pada Majlis Pelancaran The Greater Kedah, tahun lalu.

Sebagai Menteri Ekonomi, beliau sebenarnya lebih arif berkenaan isu NOC itu, tetapi dilihat seolah-olah untuk melempar ‘reba’ kepada Kerajaan Negeri Kedah yang berbeza warna dengan Kerajaan Persekutuan.

Kerajaan Negeri Kedah telah kemukakan NOC untuk ambil alih tanah lain iaitu tanah Syarikat Boustead Plantations Bhd untuk pembesaran KHTP Fasa 4 dan 5 dengan cara pembelian, bukan pengambilalihan atau ‘land purchasing’.

NOC itu tersangkut lebih daripada setahun di Kementerian Ekonomi dan dalam tempoh itu juga Kerajaan Negeri Kedah tertunggu-tunggu untuk mendapatkan kebenaran menjalankan projek tersebut. Tetapi dalam kenyataannya pada 22 Januari lalu, Rafizi mendakwa dituduh sengaja memangsakan rakyat Kedah dengan tidak meluluskan permohonan projek di Kedah.

Siapakah yang gagal berfungsi? Adakah punca kelewatan atau ‘sandiwara’ itu, disebabkan Sanusi Menteri Besar yang gagal? Sedangkan Kerajaan Negeri Kedah hendak sediakan tapak untuk pelabur yang bertali arus masuk ke negeri Jelapang Padi itu.

Malah, kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Datuk Wira Isahak Murat juga menyebut pertimbangan terhadap NOC itu telah dibuat oleh menteri berkenaan sejak April 2024 lagi.

Tetapi kenapa beliau (Menteri Ekonomi) perlu ambil masa hingga 10 bulan (22 Januari) untuk keluarkan kenyataan berkenaan perkara itu?

Seperkara lagi, amat tidak wajar Kedah atau Menteri Besarnya ‘dimusuhi kerana negeri itu telah mengorbankan sebahagian besar tanah pertanian, sungai dan hutan untuk orang lain.

‘Wishlist’ Sanusi terhadap Kerajaan Persekutuan agar pampasan dinaikkan ke RM200 juta setahun belum lagi tertunai, walhal sekiranya aset itu dibangunkan, Kedah mampu memperolehi pendapatan yang lebih tinggi dan lumayan.

Jadi, kalau cakap siang itu, pandang-pandanglah, kalau cakap malam pula, dengar-dengarlah. Jangan pukul membabi buta, bimbang sasaran tidak mengena, diri sendiri pula tercedera. – HARAKAHDAILY 10/2/2025

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!