Kawalan perairan negara di Sabah diperkuat empat LMS

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Penempatan empat Kapal Misi Persisir (LMS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Markas Pemerintahan Armada Timur di sini mampu memantapkan lagi kawalan keselamatan di perairan negara khususnya di Sabah.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata LMS memainkan peranan menangkis ancaman, mengawasi kawasan operasi, meronda zon ekonomi eksklusif dan platform sokongan kepada tugasan dalam keadaan aman, konflik dan perang.

- Advertisement -

“TLDM akan manfaatkan dengan sebaik mungkin (keupayaan LMS) demi mengukuhkan lagi tahap keselamatan di kawasan perairan Sabah termasuk melalui peningkatan rondaan bagi menangani kegiatan jenayah rentas sempadan seperti kemasukan pendatang tanpa izin melalui jalan laut dan pelanunan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat TLDM Kota Kinabalu dan mendengar taklimat mengenai ‘Operasi Murni’ iaitu persiapan menghadapi banjir di Markas 5 Divisyen, Kem Lok Kawi di sini semalam.

Tiga daripada LMS terbabit iaitu KD Keris yang ditauliah pada 6 Januari 2020, KD Sundang (5 Mac 2021), dan KD Badik (22 Okt 2021) bernaung di bawah Skuadron LMS Ke-11 berpangkalan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.

Hishammuddin berkata LMS keempat iaitu Rencong tiba di pangkalan itu pada 28 Disember lepas dan akan menyertai skuadron apabila menerima pentauliahan pada 28 Januari depan yang kemudian dikenali sebagai KD Rencong.

“Keberadaan keempat-empat LMS di dalam negara khususnya di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu hari ini cukup bermakna bagi TLDM kerana ia menandakan semua LMS telah selesai diterima oleh TLDM dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.

 Kontrak perolehan keempat-empat LMS dimeterai antara Kementerian Pertahanan dengan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd pada 23 Mac 2017 dengan kerjasama China Shipbuilding & Offshore International Co Ltd.

Beliau juga berkata Angkatan Tentera Malaysia akan meneruskan kerjasama rapat dengan Sabah dan agensi berkepentingan menerusi Operasi Murni bagi memastikan kesiapsiagaan mendepani bencana terus berada di tahap tertinggi.

“Sejak hari pertama banjir di Sabah termasuk Kota Marudu, Paitan, Beluran, Sandakan dan Telupid, anggota ATM telah diatur gerak bukan sahaja membantu memindahkan mangsa banjir tetapi juga menghantar barang keperluan dan makanan serta membantu penyediaan makanan di pusat pemindahan.

“Sebanyak 385 anggota bersama dengan 50 aset daripada Briged Kelima Infantri Malaysia bagi kawasan Pantai Barat Sabah dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia bagi kawasan Pantai Timur Sabah sedang diletakkan dalam keadaan bersiap siaga untuk diatur gerak pada bila-bila masa di negeri Sabah,” katanya.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor, yang turut serta dalam lawatan itu, berkata kerajaan negeri mahu aset keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) dinaik taraf untuk memastikan keselamatan di kawasan timur Negeri di Bawah Bayu sentiasa berada pada tahap tertinggi.

Menerusi kenyataan sempena lawatan itu, beliau berkata lebih banyak pos keselamatan juga perlu dibina terutama di sempadan Sabah-Kalimantan sebagai persediaan perpindahan ibu negara Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan.

“Kerajaan negeri mengalu-alukan keputusan ATM untuk membina tiga lagi pos keselamatan sebagai tambahan kepada tujuh lagi yang kini dalam proses pembinaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/1/2022

- Advertisement -