Umno gadai prinsip bentuk kerajaan bersama DAP

Di Perak dan Pahang

- Advertisement -

TAPAH: Penubuhan Kerajaan Negeri Perak oleh gabungan daripada Barisan Nasional-Pakatan Harapan (PH-BN) adalah terbentuk kerana mendapat sokongan daripada parti DAP semata-mata.

- Advertisement -

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Dato’ Andansura Rabu yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah berkata, senario itu dilihat sama sepertimana yang berlaku di negeri beliau, Pahang.

“Pertama kali dalam sejarah negeri Pahang, Barisan Nasional tak boleh bentuk kerajaan tanpa sokongan DAP, begitu juga di Perak ini. Di Perak ini bukan kata tak boleh bentuk kerajaan, dia (BN) sepatutnya jadi pembangkang.

“Kerana Barisan Nasional hanya ada lapan kerusi sahaja,” katanya dalam ucapan di Ceramah Kelompok Unit Daerah Mengundi (UDM) Tanjung Keramat, di sini lewat malam tadi.

Turut hadir Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato’ Rosli Abdul Jabar dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Hassanuddin Salim dan ADUN Pulau Manis, Mohammad Rafiq Khan dan ADUN Lanchang, Hassan Omar.

Di Dewan Negeri (DUN) Perak, daripada 59 kerusi, Perikatan Nasional (PN) menguasai 26 kerusi, Barisan Nasional (BN) lapan kerusi dan Pakatan Harapan (PH) ada 25 kerusi, tetapi BN yang diketuai Umno memilih bergabung dengan PH didominasi DAP.

Manakala di Dewan Negeri (DUN) Pahang, PN dan BN masing-masing memiliki 17 kerusi dan PH didominasi DAP hanya lapan kerusi, tetapi Umno yang mengetuai BN memilih bergabung membentuk kerajaan bersama PH-DAP.

Sedangkan keputusan daripada Pilihan Raya Umum ke15 (PRU15) itu terhasil daripada gelombang perubahan orang Melayu-Islam kepada PN di semua negeri dan memungkinkan kewujudan kerajaan Melayu-Islam terkuat di Perak dan Pahang.

Tambah Andansura lagi dalam ucapannya itu, wakil rakyat yang dilantik perlu mempunyai kemampuan untuk merasai keperluan dan kehendak rakyat.

“Bukan merancang dan melaksanakan tindakan yang menjurus kepada keperluan peribadi dan pihak-pihak tertentu.

“Apa yang sedang kita saksikan pada hari ini, banyak tindakan pihak kerajaan sama ada di peringkat Pusat ataupun negeri, hanya didorong oleh kepentingan berkuasa dan ingin mengekalkan kuasa mereka.

“Sebab itulah Barisan Nasional dan Umno sanggup menggadaikan prinsip dan dasar perjuangan mereka hanya semata-mata nak kekal berkuasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!