Propaganda palsu Malaysian Malaysia di sebalik ‘Malaysian dream’

Takiyuddin gesa Lim Kit Siang hentikan

- Advertisement -

PAS mendapati kenyataan Penasihat DAP Lim Kit Siang mengenai isu Perdana Menteri Malaysia dalam kalangan orang bukan-Melayu dalam pertemuannya dengan pelajar Malaysia di Manchester, England pada 29 November 2023 lepas dan kenyataan susulannya mempertahankan kenyataan pertama itu di Gleneagles, Scotland pada 5 Disember 2023 bukan sahaja keliru, malah merupakan ulangan propaganda beracun yang berpotensi menimbulkan suasana tidak harmoni dalam negara.

Adalah menjadi pengetahuan umum beberapa pimpinan DAP telah membangkitkan perkara ini sejak puluhan tahun yang lalu, termasuk pada 2012 oleh mendiang Karpal Singh dan 2017 oleh Lim sendiri. Kali ini dengan berselindung di sebalik Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan Wawasan 2020, Lim dengan sengaja memberikan gambaran yang salah mengenai orang Melayu atau citra politik orang Melayu dengan menyebut bahawa kesemua dokumen itu bermatlamatkan ‘Impian Malaysia’  yang berbilang etnik, agama dan budaya, bukan impian mono etnik.

Beliau juga kelihatan mengambil peluang membangkitkan perkara ini tatkala Umno, sebagai sebuah parti orang Melayu, berada dalam keadaan tersepit sebagai anggota Kerajaan Madani sehingga menyebabkan parti tersebut membisu seribu bahasa. Menurut Lim kenyataannya itu juga disokong oleh fakta bahawa Perlembagaan memperuntukkan bahawa orang bukan-Melayu boleh menjadi Perdana Menteri.

Sekali lagi Lim bertindak seolah-olah beliau jahil undang-undang tanpa melihat konvensyen yang diamalkan sejak negara mencapai kemerdekaan sehingga kini, iaitu bukan sahaja tidak ada orang bukan-Melayu menjadi Perdana Menteri, malah tiada juga yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. 

Jelas Lim tidak dapat menyembunyikan prejudisnya terhadap peranan orang Melayu sebagai pemimpin negara atau kedudukan mereka dalam politik dengan mengaitkan Impian Malaysia yang pelbagai etnik agama dan budaya itu secara langsung dengan jawatan Perdana Menteri yang disandang oleh orang bukan-Melayu. Dengan perkataan lain, Lim seolah-olah beranggapan hanya dengan mempunyai seorang Perdana Menteri bukan Melayu barulah Malaysia boleh dianggap telah mencapai impian sebagai sebuah negara yang berjaya.

Bagi Lim, semua usaha yang dilakukan dan semua kejayaan yang telah dicapai selama ini di bawah kepimpinan orang Melayu dalam mewujudkan sebuah negara yang maju, berpadu, bertimbang rasa, saling menghormati dan harmoni seolah-olah tidak bermakna sekiranya jawatan Perdana Menteri terus disandang oleh kelompok etnik itu. PAS mendapati naratif Impian Malaysia Lim hari ini tidaklah terlalu berbeza dengan naratif ‘Malaysian Malaysia’ yang digagaskan oleh bekas Perdana Menteri Singapura, mendiang Lee Kuan Yew suatu ketika dahulu dan diwarisi oleh DAP selepas itu. 

Helah berselindung di sebalik kata-kata manis baik oleh Lee mahupun Lim tidak dapat menyembunyikan niat sebenar mereka, iaitu mahu menimbulkan polemik serta persoalan mengenai kedudukan dan hak keistimewaan orang Melayu atau Bumiputera seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.

Almarhum Tun Abdul Razak dalam perbahasan di Parlimen pada Jun 1965 ketika menolak gagasan ‘Malaysian Malaysia’ yang dibawa oleh Lee Kuan Yew menyebut: 

“There is no need for him to sweeten the feelings of the Malays and the natives by saying that he supports the National language and Article 153 of the Constitution, i.e., the special position of the natives and of the Malays, when in actual fact he continuously, by words and deeds, undermines these two fundamentals.” (Parliamentary Debates: Dewan Rakyat Official Report, Vol. II, No. 5, 3 June 1965, hlm. 1007) 

Malah ucapan Lim kepada pelajar Malaysia baru-baru ini tentang impian mono etniknya dan “sama ada Malaysia dapat bangkit semula menjadi sebuah negara hebat dunia atau adakah Malaysia telah ditakdirkan untuk menjadi

sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan kleptokratik” juga tidak langsung berbeza dengan ucapan Lee Kuan Yew kepada pelajar kita di London pada 1964. Lee antara lain berkata, “Malaysian survives or fails depending on whether we set out to create a Malaysian nation or a Malay nation with special rights reserved for Malays”. (DO 169/526: British High Commission, 30th September 1964.) 

Seperti gagasan ‘Malaysian Malaysia’ yang ditolak kerana kekaburan, niat buruk dan kontradiksi yang terkandung di dalamnya serta tingkah-laku tidak jujur pejuangnya suatu masa dahulu, maka naratif Impian Malaysia ini juga perlu ditolak oleh semua rakyat Malaysia yang insaf sejarah dan menghargai pencapaian serta keharmonian sedia ada dalam kalangan kita. 

Justeru PAS memberi amaran kepada mana-mana pihak yang masih berdegil dalam membangkitkan perkara seumpama ini supaya berhenti mengamalkan perbuatan mengumpan kemarahan (rage baiting) orang Melayu atau Bumiputra khasnya kerana ia juga membawa makna mengundang berulangnya ketegangan dalam masyarakat yang pernah mencetuskan peristiwa hitam perbalahan kaum di negara ini lebih 50 tahun yang lampau.

Terima kasih.  

TAKIYUDDIN HASSAN 
Setiausaha Agung PAS 
Bertarikh : 11 Disember 2023- HARAKAHDAILY 11/12/2023

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!