TAPAH: Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat, Khairul Nadzir Helmi Azhar mengucapkan ‘terima kasih’ kepada Pemuda PAN yang membangkitkan isu tauliah calon PERIKATAN NASIONAL (PN) Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Jelasnya, bagaimanapun pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri sudah mengesahkan bahawa Ustaz Abdul Muhaimin Malek sememangnya memiliki kelayakan mengajar agama yang sah.
“Muncul kawan-kawan yang belajar di Syria yang sekarang ini menjadi pendakwah terkenal dan aktif di Malaysia. Mereka sangat teruja melihat calon ini yang bakal menjadi wakil rakyat di Ayer Kuning.
“Secara automatik, kami Pemuda PN mengucapkan terima kasih kepada yang ‘provoke’ walaupun kita lihat ini politik murahan.
“Malah, kawan-kawan yang pernah belajar dan guru-guru calon sendiri yang pernah berada di Syria telah membuat ‘posting’ mengiktiraf keilmuan calon kita ini,” katanya dalam satu sidang media, di sini, hari ini.
Tambah beliau, tiada ruang yang memerlukan seseorang itu supaya mengisytiharkan jawatan dalam sesebuah parti ketika mengisi borang permohonan bagi mendapatkan tauliah berkenaan.
“Apa-apa pun kami ucapkan terima kasih atas ‘concern’, sebab isu tauliah ini bukan isu politik semata-mata. Ia adalah keupayaan seseorang itu untuk mengajar subjek agama.
“Ia memberi manfaat kepada rakyat, memberi manfaat kepada orang Melayu, kepada orang Islam. Hatta kepada orang non-Muslim yang nak mempelajari kepelbagaian agama,” ujarnya.
Terdahulu, Pemuda PAN Perak meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap Ustaz Abdul Muhaimin yang didakwa menipu dalam permohonan mendapatkan tauliah mengajar daripada Jabatan Mufti.
Timbalan Ketuanya, Ahmad Munzirie Ahmad Kabir mendakwa, Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak menetapkan ahli politik dilarang untuk mengambil bahagian dalam aktiviti mengajar atau bersyarah di mana-mana masjid dan surau. – HARAKAHDAILY 16/4/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!