Di sebalik penyertaan Huawei dalam dasar 5G negara

Mana pergi tatakelola dan tadbir urus Madani?

- Advertisement -

PERDANA Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, menyatakan pada hari Rabu lepas bahawa peralihan dasar 5G negara dari Rangkaian Borong Tunggal (Single Wholesale Network) kepada dwirangkaian 5G (Dual Wholesale Network) akan membolehkan penyertaan yang lebih berkesan oleh gergasi telekomunikasi China, Huawei, sekali gus memberikan Malaysia keseimbangan antara teknologi Barat dan Timur.

Kerajaan Malaysia pada bulan Mei 2023 telah mengumumkan pelaksanaan rangkaian 5G kedua yang dijangka beroperasi mulai awal tahun depan bagi menghentikan monopoli yang dipegang oleh satu rangkaian yang dikendalikan oleh kerajaan. Keputusan ini adalah di sebalik pelbagai kebimbangan dari beberapa negara Barat yang inginkan Malaysia menuruti rancangan asalnya, iaitu pelaksanaan 5G secara Rangkaian Borong Tunggal.

Namun, Perdana Menteri dilihat tidak mengendahkan amaran Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat kepada Malaysia mengenai risiko penyertaan Huawei terhadap keselamatan negara dan pelaburan asing; di sebalik usaha Huawei untuk melobi peranannya di dalam pembangunan infrastruktur telekomunikasi negara, seperti yang dilaporkan oleh The Financial Times pada bulan Mei.

Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sidang Kemuncak ICT Malaysia 2023 yang berlangsung di MITEC, Kuala Lumpur telah mengakui dan mengesahkan kebimbangan beberapa negara mengenai ‘keselamatan dan kapasiti’ teknologi yang berasal dari China, namun tetap berkeras untuk membenarkan rangkaian 5G kedua oleh Huawei agar Malaysia dapat mendapat manfaat daripada teknologi yang berbeza.

“Kami di Malaysia… dan saya percaya dengan benar, memutuskan bahawa walaupun kami mendapat teknologi yang terbaik dari Barat, kami juga berhak memanfaatkan teknologi yang terbaik dari Timur,” katanya dalam acara yang dianjurkan oleh Huawei pada 27 September 2023.

“Selepas perbincangan yang mendalam… kami membuat keputusan untuk membenarkan dwirangkaian 5G, dan dengan itu keputusan untuk penyertaan yang lebih bermakna oleh Huawei.”

Setelah sekian lama, Malaysia pada tahun 2021 telah mengumumkan pelaksanaan rangkaian 5G negara melalui syarikat milik Kerajaan Digital Nasional Berhad (DNB) melalui rangkaian borong tunggal, dengan pelbagai pengendali menggunakan infrastruktur tersebut untuk menyediakan perkhidmatan mudah alih. Namun, pelaksanaan ini telah mendapat pelbagai kritikan daripada syarikat pengendali mengenai harga dan persaingan.

DNB yang dikelolakan oleh kerajaan bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi Sweden, Ericsson, untuk melancarkan rangkaian 5G Malaysia melalui proses bidaan yang telus dan kompetitif, namun nasib DNB masih kelam kelabu gara-gara dasar flip-flop oleh Perdana Menteri Anwar berkenaan dasar 5G negara. Setakat ini, masih belum jelas bagaimana peralihan kepada dwirangkaian akan memberi kesan kepada perjanjian asal DNB dengan Ericsson atau pengendali mudah alih lain.

Jika percaturan Perdana Menteri ke-10 (PMX) salah berkenaan cita-cita geopolitik China dan teknologi Huawei memang digunapakai di dalam rangkaian pengintipan China, apakah Malaysia mampu secara teknikal untuk mengatasi kebocoran rangkaian komunikasi dan mengelakkan kesan yang kritikal terhadap kedaulatan Malaysia dan menjejaskan hubungan strategik sedia ada dengan rakan sekutu yang lain walaupun telah diberi amaran awal kemungkinan tersebut?

Rujukan: 
1. Malaysia’s switch to dual 5G network can allow participation of China’s Huawei, prime minister says | Reuters

FAIZOL ABDUL HALIM
Pembangun perisian bebas – HARAKAHDAILY 10/10/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -