Pemuda garis inisiatif tangani arena geopolitik

- Advertisement -

PENGKALAN CHEPA: Pemuda PAS mengemukakan inisiatif ke arah meningkatkan cinta watan kepada kedaulatan negara, melindungi kepentingan strategik negara, serta menjadi jambatan dakwah merentas Timur dan Barat.

Juga sebagai ejen penyatuan pemuda Islamis sedunia dan seterusnya merintis kemenangan akhir zaman yang dijanji Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W sepertimana digariskan dalam Ucaptama Ketua Pemuda PAS Malaysia.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, inisiatif akan dilaksanakan adalah membentuk kerjasama strategik dengan entiti seperti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

“Mengadakan Kempen ‘Pemuda PAS sertai TLDM dan Maritim Malaysia’ atau pasukan simpanan laut seperti Pasukan Simpanan Sukarelawan Maritim Malaysia (PSSMM) dan Pasukan Kadet Maritim Malaysia (PASKAM) sebagai langkah awal Pemuda PAS menjadi Pemuda Islam yang bersedia mempertahankan kedaulatan maritim negara.

“Memperkasa hubungan yang sedia ada dengan Pemuda Parti Islamis dan Pemuda AKP Turki bagi menyokong dasar luar Turki yang positif untuk kepentingan umat Islam di Timur Tengah.

“Untuk pengetahuan bersama, Pemuda PAS telahpun memulakan langkah kerjasama Sektor Pendidikan dengan institusi berkaitan di Turki melalui Lawatan Silang Belajar ke Turki pada 14-21 Mac 2020,” ujarnya pada Muktamar Tahunan Pemuda PAS Kali Ke-61 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK), di sini sebentar tadi.

Maklumnya, antara pemegang taruh dan pertubuhan yang telah diadakan libat urus termasuklah Pemuda Parti Saadet, Anatolian Youth Association (AGD), Federation of International Student Associations (UDEF), Ibnu Khaldun University, Sinan Pasa Madrasah, TRT World News Agency & Research Center dan lain-lain lagi.

Juga katanya, mmeneruskan usaha penyatuan gerakan pemuda Islam di seluruh dunia dalam memperjuangkan kedaulatan Palestin melalui rangkaian teknologi komunikasi serta mengaturkan kunjung hormat dengan Ibu Pejabat OIC bagi menyatakan pandangan Pemuda PAS dan rakan-rakan yang lain terhadap isu ini.

Sebagai rekod, Pemuda PAS telahpun menghantar dan menjelaskan ‘Memorandum On Trump’s Middle East Peace Plan’ kepada Pegawai Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur dan kemudiannya disusuli dengan demonstrasi aman di hadapan kedutaan tersebut.

Inisiatif ini dikemukakan dari latar belakang pandemik COVID-19 yang turut memberi impak signifikan ke atas arena geopolitik di mana menurut Ir Khairil, selayaknya Pemuda PAS perlu bersedia untuk menyesuaikan peranan tidak hanya di peringkat lokal, tetapi juga di peringkat antarabangsa.

“Isu ‘Laut China Selatan’ adalah antara isu geopolitik yang menjadi perhatian terhadap persaingan kuasa-kuasa besar dunia di rantau Laut China Selatan. Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 3 mendedahkan tentera laut dan pengawal pantai China menceroboh perairan negara sebanyak 89 kali dari tahun 2016 hingga 2019.

“Laporan ini berpendapat isu pencerobohan China khususnya di Beting Patinggi Ali (BPA) merupakan perkara serius terhadap kedaulatan dan keselamatan Zon Maritim Malaysia (ZMM). Ancaman nelayan asing dari Vietnam dan pendatang haram dari Myanmar melalui jalan laut juga semakin menjadi-jadi.

“Isu ‘kembalinya Ayasofya sebagai Masjid’selepas 86 tahun dijadikan muzium oleh pemimpin Sekular, akhirnya tapak bersejarah Hagia Sophia di Turki kembali menjadi masjid dan boleh dilawat oleh para pelancong dari seluruh dunia.

“Keputusan Mahkamah Turki dengan sokongan Kerajaan AKP pimpinan Erdogan ini seperti diduga mengundang reaksi negatif kuasa Barat. Apatah lagi dalam keadaan Turki berdepan cabaran geopolitik di Libya, Syria, Greece dan Cyprus,” bentangnya.

Turut disenarainya isu ‘ketidakstabilan politik di Yaman, Libya, dan Syria’ serta isu ‘pengilhakan bumi Palestin’ di mana konflik perang saudara tidak berkesudahan di Yaman, Libya dan Syria mengakibatkan umat Islam di sana menghadapi ‘scarcity crisis’ yang amat parah.

Palestin pula katanya, sebagai tempat suci ketiga umat Islam berdepan dengan rejim Zionis Israel yang masih mengusahakan perampasan wilayah (annexation) Tebing Barat Palestin dengan restu Amerika Syarikat susulan peta ‘Deal of the Century’ tajaan Donald Trump pada penghujung Januari lalu. – HARAKAHDAILY 12/9/2020

- Advertisement -
- Advertisement -