Masyarakat kita dan jenaka lucah

PERBUATAN memberi hadiah tidak senonoh kepada pasangan pengantin seperti yang tular di media sosial baru-baru ini tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan umat Islam. 

Orang Islam ini hatta dalam berjenaka sekalipun ada batasan dan adab-adabnya. Inikan pula hendak bergurau dengan perkara yang boleh mengaibkan suami isteri, keluarga dan tetamu yang hadir. 

Terkadang mari perasaan terkilan, bukankah masyarakat Malaysia dipupuk dengan perasaan malu dan sopan santun? Bukankah sifat malu itu mencerminkan akhlaknya? Malah telah datang kepada kita peringatan dalam Hadis Nabi S.A.W:

Advertisement

عَنْ أَنَسٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَا كَانَ الْفُحْشُ فِي شَيْءٍ إِلَّا شَانَهُ وَمَا كَانَ الْحَيَاءُ فِي شَيْءٍ إِلَّا زَانَهُ

“Daripada Anas R.A, beliau berkata: Rasulullah S.A.W bersabda: “Tidaklah sifat buruk dalam sesuatu kecuali akan memperburuknya, dan tidaklah sifat malu dalam sesuatu kecuali akan menghiasinya.””

[Sunan al-Tirmizi (1897). Hadis Hasan]

Sifat malu yang ada pada seseorang merupakan penghias akhlak manakala sifat buruk yang ada pada seseorang akan menjadikannya bertambah buruk dan hina di sisi Allah dan makhluk. 

Hiasilah diri kita dengan sifat malu dan hentikanlah normalisasi elemen lucah kepada anak muda, lebih-lebih lagi dalam media sosial di mana semua orang boleh melihatnya.

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 21/6/2022