6 projek perumahan baharu dibangun di Dungun

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Sebanyak enam projek perumahan sedang dalam pelaksanaan di daerah Dungun, Terengganu, melibatkan sejumlah 1,062 unit rumah yang bakal memberi manfaat kepada penduduk setempat.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, projek-projek tersebut kini berada pada pelbagai peringkat kemajuan.

Jelas beliau, ia merangkumi kerja-kerja tanah, pembangunan infrastruktur, kerja bangunan dan juga proses perancangan.

“Antara enam projek perumahan yang sedang dilaksanakan iaitu RMM Balai Besar di Rantau Abang, Dungun melibatkan sebanyak 182 unit rumah RMM A dan juga RMM B sebanyak 54 projek.

“Ini baru sahaja dimulakan dan insya-Allah kerja-kerja awalan di tapak termasuk kerja-kerja tanah sedang dilaksanakan. Yang keduanya di Dun Bukit Besi juga dalam kawasan Dungun iaitu projek pemajuan kawasan Bandar AMBS di Dungun.

“Ia melibatkan rumah teres sebanyak 130 unit dan status sekarang ini adalah kerja-kerja bangunan dan infrastruktur dan kemajuan sebenarnya adalah sebanyak 63 peratus.

“Yang ketiganya di Dun Paka RIR ataupun rumah idaman rakyat Desa Idaman Santong di paka yang melibatkan sebanyak 70 unit RMM A sebanyak 32 dan RMM B 38.

“Kerja-kerja, bangunan dan infrastruktur sedang berjalan, sekiranya tidak ada masalah dijangka akan mendapat CCC pada Julai 2025. Insya-Allah,” katanya pada sesi soal jawab lisan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli (PAS-Rantau Abang) ingin tahu mengenai projek perumahan terkini di daerah Dungun, terutamanya di DUN Rantau Abang dan apakah perkembangan terkini.

Mengulas lanjut beliau berkata, projek perumahan di Taman industri yang juga di Paka melibatkan sebanyak 178 unit rumah RMM A.

“Terakhir projek pembangunan tanah di kawasan Kuala Paka juga di Dungun melibatkan sebanyak 348 unit, terdiri daripada RMM A sebanyak 139 dan RMM B sebanyak 209.

“Kesemuanya ada 348 unit dan sekarang ini dalam proses memohon kebenaran merancang (KM),” katanya.

Sementara itu, kata beliau, dari enam projek diumumkan hanya satu kawasan yang tidak dinyatakan iaitu DUN Sura.

“Walaubagaimanapun, jangan bimbang kerana kita telah pun ada satu projek di Kampung Bukit Tebuk di mukim Kuala Dungun, daerah Dungun iaitu melibatkan sebanyak 120 unit rumah RMM A dan 135 unit rumah RMM B.

“Status sekarang ini adalah dalam proses untuk memuktamadkan draf perjanjian usaha sama di antara pihak kerajaan dengan pihak syarikat berkenaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!