Cabaran PRU15: Apa pilihan pengundi?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Parti-parti politik kini berdepan cabaran dari pertambahan komposisi pengundi muda dalam senarai daftar pemilih yang menuntut untuk berkemampuan membawa perubahan selari dengan keperluan pengundi.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad menjelaskan, pengundi pada hari ini ingin melihat parti yang menjadi kerajaan mesti mampu membawa perubahan yakni memberi kebaikan kepada kehidupan rakyat negara ini.

Beliau menyatakan perkara tersebut semasa Wacana Sinar Harian yang membicarakan tajuk “Catur Politik: Demi Rakyat atau Kepentingan Peribadi?” di Pejabat Karangkraf, Shah Alam baru-baru ini.

- Advertisement -

Untuk memenuhi keperluan juga, pengundi katanya, merasakan mereka perlu memilih kepimpinan yang dilihat benar-benar berkaliber untuk membawa hasrat rakyat apabila telah membentuk kerajaan.

“Ini menjadi pressure kepada parti politik untuk bergerak dan berubah seiring dengan keperluan rakyat. Saya melihat ini sangat positif supaya parti-parti ini tidak hanya memerintah dengan orang kata dengan cara biasa.

“Memerintah 20 tahun, 30 tahun dengan cara yang sama, tiada perubahan. Maka ini memberikan kesan yang besar kepada parti politik dan juga pemain-pemain politik untuk mereka berubah seiring dengan keperluan pengundi.

Terutama sekali pengundi yang tidak lagi menjadikan parti sebagai pilihan mereka, tetapi calon yang berkaliber sebagai pilihan mereka,” ujar beliau.

Mengulas mengenai penubuhan parti baharu PEJUANG dan MUDA, beliau menegaskan bahawa dalam konteks negara demokrasi, setiap individu atau kelompok berhak menubuhkan parti politik masing-masing berasas Perlembagaan Negara.

Menurutnya, PAS menghormati Tun Dr Mahathir Mohamad dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang masing-masing menubuhkan PEJUANG dan MUDA, namun percaya bahawa rakyat juga mempunyai penilaian mereka.

“PAS daripada 1951, Umno lebih awal, 1946. Kemudian PKR dan sebagainya. Ada parti yang tubuh, dah tak ada hari ini. Parti 46, Parti Negara, macam-macam parti yang dah tak ada. Ada parti yang bertahan, ada parti yang tak bertahan.

“Faktor bertahan atau tidak ini ataupun terus cemerlang ini adalah bagaimana mereka boleh memposisikan diri kepada rakyat. Adakah mereka mampu memberikan keperluan rakyat, apa yang rakyat nak.

“Dalam konteks ini, kami menghormati dan kita perlu menilai setakat mana parti-parti ini boleh bergerak untuk memberikan kebaikan kepada rakyat dan negara. Dalam konteks pilihan raya, parti MUDA nak bawa golongan muda untuk bersama dengan mereka.

“PEJUANG untuk bawa satu misi yang awalnya sama seperti BERSATU dulu, lebih kurang sama dia punya misinya, sama dengan BERSATU dulu. Tapi dalam keadaan negara kita sudah ada banyak parti politik ini, saya melihat agak sukar untuk duanya,” ujar beliau.

Pun begitu tegasnya, beliau menghormati mereka dan menyeru kepada semua parti politik biarpun berada di kem berlainan, tetapi diharap boleh bersama untuk kebaikan negara. – HARAKAHDAILY 2/10/2020

- Advertisement -