DALAM Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pagi ini, Ahli Parlimen Pontian, YB Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan minta saya menyatakan status projek ECRL, HSR, Pan-Borneo, MRT dan lebuh raya baharu bagi mengurangkan kesesakan terutama ketika cuti panjang dan perayaan. Turut ditanya adalah mengenai perancangan bagi mengurang atau menghapuskan tol serta contoh-contoh kejayaan yang dibuat.
ECRL
Saya menjelaskan, sehingga bulan Jun 2022, pembinaan keseluruhan projek ECRL ini telah mencapai kemajuan sebanyak 31.48 peratus. Penyiapan projek ini kelak bakal menjimatkan masa perjalanan dari Kelantan ke Kuala Lumpur selama 4 jam sahaja berbanding 7 hingga 8 jam ketika ini.
HSR
Bagi projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) pula, cadangan asal pembinaan HSR Kuala Lumpur ke Singapura telah dibatalkan pada 1 Januari 2021. Pada 29 November 2021, YAB Perdana Menteri Malaysia telah mengadakan lawatan dan berbincang dengan Perdana Menteri Singapura dan kedua-dua Perdana Menteri mencadangkan agar model baharu projek HSR Kuala Lumpur-Singapura dibincangkan semula dan diserahkan semula kepada kedua-dua Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Singapura.
Susulan daripada itu, saya telah mengadakan perbincangan bersama rakan sejawatan saya dari Singapura pada 16 Mei 2022 bagi memperhalusi cadangan tersebut. Seterusnya pada 24 Februari 2022, YAB Perdana Menteri telah mengadakan pertemuan rasmi dengan Perdana Menteri Thailand dan mencadangkan HSR Malaysia disambung dari Kuala Lumpur ke Bangkok.
Lanjutan daripada itu, saya dan Menteri Pengangkutan Thailand pada 17 Mei 2022 telah bersetuju agar satu jawatankuasa khas bersama di antara Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Thailand yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha MOT dan Thailand bagi membincangkan mengenai perancangan, jajaran dan aspek teknikal lain berkaitan cadangan projek HSR Kuala Lumpur-Bangkok. Sebagai sebuah projek mega yang strategik, Kementerian Pengangkutan perlu melihat cadangan pembangunan projek ini pada skala yang lebih besar iaitu ketersambungan kepada tanah besar ASEAN.
MRT2
Projek MRT2 ataupun MRT Laluan Putrajaya yang menghubungkan Sungai Buloh – Serdang – Putrajaya pula adalah sejauh 56.4 km dan terdiri daripada 36 stesen dan 4 stesen provisional. Projek ini telah dimulakan pada Oktober 2015 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Januari 2023.
Fasa 1 MRT Laluan Putrajaya sepanjang 17.5km iaitu dari Stesen Kwasa Damansara ke Kampung Batu telah memulakan operasi pada 16 Jun 2022. Jajaran Fasa 1 ini yang melibatkan 12 buah stesen sedang memberikan perkhidmatan kepada kawasan-kawasan yang berkepadatan tinggi seperti Sungai Buloh, Damansara Damai dan Sri Damansara di Petaling Jaya, serta Kepong, Jinjang dan Kampung Batu di Kuala Lumpur.
Sehingga Jun 2022, projek MRT2 telah mencatatkan kemajuan keseluruhan sebanyak 98.4 peratus dan dijangka akan mula beroperasi dalam bulan Januari 2023. Pembukaannya kelak akan menggalakkan peralihan mod kepada pengangkutan awam, sekaligus mengurangkan kesesakan lalu lintas.
MRT3
Bagi projek MRT3 ataupun MRT Laluan Lingkaran pula, jajaran yang dicadangkan adalah sepanjang 51km dan termasuk 2 depoh dan 33 stesen (termasuk 2 stesen sementara) di mana 10 daripadanya adalah stesen pertukaran yang menyambungkan MRT3 dengan stesen-stesen yang sedia ada termasuk KTM, LRT, Monorail, MRT Laluan Kajang dan MRT Laluan Putrajaya. Sepanjang 12km daripada jajaran MRT3 adalah jajaran bawah tanah manakala 39km lagi merupakan jajaran bertingkat.
Pembinaan projek MRT3 akan melibatkan lima (5) pakej kerja, yang terdiri daripada satu (1) Perundingan Pengurusan Projek (PMC), tiga (3) civil works (CMC) dan satu (1) pakej system works. Pada masa ini, MRT Corp dalam proses melantik perunding pengurusan projek (PMC) serta tiga (3) kontraktor bagi pakej civil works(CMC). Tender bagi pakej system works akan dibuka kelak. Semua usaha meningkatkan ketersambungan MRT akan memberi pilihan pengangkutan awam yang berkualiti kepada rakyat.
Lebuhraya Pan Borneo
Berhubung dengan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) serta pengurangan kadar tol, ia adalah tertakluk kepada bidang kuasa Kementerian Kerja Raya. Dengan pelaksanaan projek LPB Sabah dan Sarawak, ianya bukan sahaja akan menambahbaik jaringan jalan raya di Sarawak dan melengkapkan jaringan jalan raya ke Negeri Sabah dan Negara Brunei Darussalam. Kementerian Kerja Raya juga pada masa ini sedang melaksanakan rundingan penstrukturan semula lebuh raya bersama pihak syarikat konsesi bagi mencari penyelesaian berkaitan kadar tol ini.
DATUK SERI IR. DR. WEE KA SIONG
Menteri Pengangkutan Malaysia – HARAKAHDAILY 19/7/2022
Status projek-projek pengangkutan negara
- Advertisement -