Kelantan ikhtiar majukan infra sukan negeri melalui Pusat

- Advertisement -

SEMALAM Exco Sukan Negeri Kelantan, YB Ustaz Wan Roslan Wan Hamat memuat naik gambar lawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), YB Dato’ Sri Mustafa Mohamed ke tapak Madinatul Riadah Bukit Merbau. 

Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM256 juta untuk Kompleks Sukan Bukit Merbau dan melalui Kementerian Belia dan Sukan juga telah dibangunkan Kompleks Sukan Komuniti di Jeli bernilai RM28.59 juta.

Inilah salah satu nikmat yang ada apabila adanya muafakat politik dan juga Kerajaan Negeri dan Persekutuan memahami semangat Federalism yang ada dalam Perlembagaan. 

Kita kena ucapkan tahniah kepada YB Ustaz Wan Roslan Wan Hamat dan YB Dato’ Pa kerana telah berjaya membawa pulang dan meneruskan projek pembangunan kemudahan dan fasiliti sukan di Kelantan.

Tak lupa juga kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Faizal Azumu yang telah mengambil berat soal pembangunan infra sukan di Kelantan.

Bila nak siap Kompleks sukan ni? Menurut Dato’ Pa, sekarang ini di peringkat pra-pelaksanaan di mana makmal pengurusan nilai (Value Management) telah diadakan pada bulan Jun 2022 dan juga penilaian kejuruteraan telah siap pada akhir Julai lalu.

Pembinaan kompleks ini dijangka bermula pada awal tahun 2023 dan akan siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2025. Insya-Allah.

Insya-Allah, sempat dengan SUKMA 2026 yang Kelantan menjadi tuan rumah. 

Selain itu juga, YB Ustaz Wan Roslan Wan Hamat juga bertungkus lumus mendapatkan peruntukan untuk menaiktaraf dan membaiki Stadium Sultan Muhammad IV. 

Alhamdulillah, peruntukan sebanyak RM5 juta yang diperolehi dari Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dan RM400,000 peruntukan di bawah Program Strategik Pemerkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) tahun 2021. 

Malah, Kerajaan Negeri melalui portfolio YB Ustaz Wan Roslan Wan Hamat sendiri telah meluluskan RM100,000 untuk menyempurnakan kerja-kerja naik taraf tempat duduk di astaka.

Bukan sahaja bina Stadium baharu, baiki Stadium sedia ada, malah Kerajaan Negeri juga berusaha cari peruntukan KBS untuk bina padang bola sepak baharu seperti di Mukim Teluk Mesira dalam kawasan DUN Tawang dengan perbelanjaan berjumlah RM500,000.

Diluluskan juga satu projek naik taraf padang bola idi Padang Perdana, dengan kos RM500,000 juga. 

Kelihatannya, barisan kepimpinan negeri menggunakan peluang yang ada untuk membawa balik semula projek-projek dan peruntukan ke Kelantan setelah berpuluh tahun ternafi akibat perbezaan politik. 

Sekali lagi kita ucapkan tahniah dan terima kasih kepada kedua tokoh ini, YB Ustaz Wan Roslan Wan Hamat, YB Dato’ Pa, YB Datuk Seri Faizal Azumu. Teruskan bawa kemajuan sukan untuk Kelantan.

MOHD HUSHAIMI HUSSIAN
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 8/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -