DAP tamak air: P Pinang senang, Perak mahu ditunggang

- Advertisement -

“SEBENARNYA dalam rundingan 1 Mac, pendirian kerajaan negeri (Pulau Pinang) telah disampaikan kepada Perak, bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedia untuk menerima air terawat sekiranya projek ini diluluskan,” Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Kenyataan ini dibuat secara rasmi dalam sidang Mesyuarat Pertama Penggal Kelima DUN Pulau Pinang Keempat Belas, pada Rabu bersamaan 1 Jun 2022 kira-kira pada jam 10:45 pagi.

Kenyataan tersebut dibuat sebagai reaksi terhadap soalan yang ditimbulkan ADUN Machang Bubuk yang mempersoalkan tindakan kerajaan negeri seolah-olah tak masuk akal dalam membuat pertimbangan.

Jika kos penyahgaraman terlalu tinggi, mengapa tidak terima sahaja air terawat? Begitulah maksud soalan ADUN Machang Bubuk. Akhirnya Ketua Menteri menjelaskan pendirian rasmi terhadap Kerajaan Negeri Perak dalam mesyuarat rundingan bertarikh 1 Mac 2022 itu.

Namun peliknya, tiada satu media pun yang peka terhadap kenyataan rasmi dalam Sidang DUN pada 1 Jun 2022 ini? Kerana apa yang lebih meragukan apabila, rakaman Sidang secara langsung (live) di Facebook PagesDewan Undangan Negeri Pulau Pinang telah dipadam untuk sesi pagi ketika kenyataan itu dibuat. 

Walau kenyataan 1 Jun dibuat Ketua Menteri sebagai penegasan daripada hasil kesediaan bersetuju menerima air terawat dalam rundingan 1 Mac, namun pada 7 Julai 2022 baru-baru ini, Ketua Menteri telah seolah-olah melakukan pusingan-U yang begitu pelik. 

Kenyataan beliau pada 1 Jun pun sebenarnya kelihatan kontradik, apabila memohon Projek Skim Pemindahan Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) diluluskan dan Pulau Pinang bersedia menerima air terawat. 

Jadi untuk memahami secara tidak pelik adalah projek SPRWTS itu perlu mengambil kira soal membiayai pembinaan loji rawatan berkapasiti besar dalam sempadan Perak sebelum disalurkan untuk penggunaan Pulau Pinang. 

Apa yang dimaksudkan dengan pusingan-U yang pelik pada 7 Julai ialah Ketua Menteri sekali lagi menggesa mempercepatkan projek SPRWTS tanpa melakukan semakan semula terhadap cadangan projek tersebut yang disediakan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP). 

Kalau dah bersetuju untuk menerima air terawat daripada Perak berbanding terpaksa melaksanakan projek Penyahgaraman Air Laut , maka kertas cadangan SPRWTS perlu diperbaharui dahulu.

Kenapa harus minta orang lain menendang bola sedangkan bola tersebut di kaki sendiri?”

Pada 7 Julai juga Ketua Menteri telah menyatakan:

“Sehingga hari ini, Kerajaan Persekutuan menegaskan Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu berunding terus dengan Kerajaan Negeri Perak. Kita telah menghadiri beberapa sesi rundingan langsung tetapi tidak berjaya,” ujarnya.

Apabila membaca kenyataan tersebut, saya yang mengikuti polemik air Pulau Pinang-Perak ini, teringat suatu masa dahulu bahawa sememangnya Kerajaan Negeri Perak pernah bersedia berunding untuk berbincang soal air terawat.

Penting diri

Namun Kerajaan Negeri Pulau Pinang seolah-olah ‘jual mahal’ iaitu hanya berminat untuk membincangkan mengenai air mentah. Ini bermakna, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mahukan yang murah dan menguntungkan mereka sahaja pada ketika itu. Tiada sikap kesediaan saling bertolak-ansur atau ‘give and take’.

Tetapi, situasi kini telah berubah. Setelah berlaku insiden keringnya Tasik Bukit Merah yang berfungsi membantu pengairan sawah padi di kawasan Bagan Serai, Perak Utara sejak Mei 2022 yang lalu, maka ini menjadi petunjuk kuat bahawa Perak perlu mengutamakan penyaluran air mentah daripada Sungai Perak ke Tasik Bukit Merah terlebih dahulu. 

Pada 3 Jun 2022 lalu, Harian Metro melaporkan seluas 12,400 hektar sawah padi di daerah Bagan Serai, Semanggol dan Selinsing berisiko terjejas apabila bekalan air dihentikan susulan penyusutan paras air Tasik Bukit Merah.

Ini adalah berikutan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menghentikan pengairan ke sawah padi bermula 27 Mei lalu berikutan paras takungan air Tasik Bukit Merah susut ke paras bahaya.

Lebih awal daripada insiden Tasik Bukit Merah yang kering ini, pada Disember 2021 tahun lalu, Menteri Besar Perak telah menyatakan bahawa Perak akan memberi keutamaan kepada keperluan penggunaan air domestik sebelum membuat sebarang keputusan untuk menjual air mentah kepada negeri lain termasuk Pulau Pinang.

Sebenarnya, suatu ketika dahulu, Kerajaan Negeri Perak pernah terbuka untuk berbincang soal terawat, tetapi ada pihak daripada Pulau Pinang masih tak sedar kedudukan sebenar. Sudah diberi betis, mahunya paha. 

Dalam kenyataan 1 Jun dalam sidang DUN yang tidak dilaporkan media itu sebenarnya menunjukkan Ketua Menteri Pulau Pinang seperti telah mula sedar, hasil peringatan bijaksana oleh ADUN Machang Bubuk. 

Entah bagaimana pada 7 Julai pasca insiden gangguan bekalan air Pulau Pinang berkait dengan keladak banjir Iboi Baling Kedah, bagaikan dirasuk hantu polong mana entah, Ketua Menteri Pulau Pinang menjadi tidak sedar diri apabila kembali memainkan lagu-lagu yang mendesak penyaluran air mentah. 

Memang nampak ADUN Machang Bubuk lebih cerdik dalam memahami kedudukan Pulau Pinang sekarang. Desakan Kerajaan Persekutuan untuk memujuk Perak adalah seumpama wayang politik untuk mencari salah pihak lain. 

Ketua Menteri Pulau Pinang seolah-olah butakan mata soal kesulitan yang juga dialami oleh Perak dan buat-buat tak sedar bahawa urusan sumber air adalah bidang kuasa negeri.

Maka Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) tidak boleh sesuka hati mengganggu bidang kuasa negeri. 

Akhirnya, apa yang boleh disimpulkan daripada sikap pemimpin Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam polemik air antara dua negeri berlaku ini adalah seperti kata pepatah ‘Orang Tamak Selalu Rugi, Bagai Anjing dan Bayang-bayang’. 

ZIKRULLAH ISMAIL
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 20/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -