Institusi negara jangan jadi alat intimidasi politik

Untuk aibkan pemimpin bersih

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Tindakan Imigresen Sabah memaksa Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menunggu dan seolah-olah ‘ditahan’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) disifatkan sebagai suatu bentuk intimidasi politik.

- Advertisement -

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, layanan diberi terhadap pemimpin negeri itu jelas tidak beradab dan menghina maruah seorang ketua kerajaan negeri yang telah terbukti bersih dan berintegriti.

“Saya mengikuti dengan penuh rasa kecewa apabila gambar Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang sedang ‘ditahan’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu menjadi tular.

“Gambar itu menggambarkan seolah-olah beliau seorang pesalah besar, dipinggir, diawasi dan dipaksa menunggu seperti tiada maruah sebagai ketua kerajaan negeri.

“Apakah ini cara kita melayan seorang pemimpin negeri yang telah terbukti bersih, tidak pernah dikaitkan dengan sebarang salah guna kuasa, jenayah atau rasuah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau juga menempelak penjelasan dangkal pihak tertentu yang cuba menyembunyikan kejadian itu di sebalik alasan ‘autonomi imigresen Sabah’.

“Saya terbaca satu hantaran yang kononnya menjelaskan mengapa Menteri Besar diarahkan menunggu oleh pihak Imigresen KKIA. Kononnya ia adalah proses biasa disebabkan autonomi imigresen Sabah.

“Sebagai Exco Pelancongan Negeri, saya sendiri pernah ke Sabah dan Sarawak atas urusan rasmi dan pelancongan. Tidak pernah sekalipun saya diarahkan menunggu seperti mana yang berlaku kepada Menteri Besar.

“Untuk makluman, Dr Sam bukan calang-calang individu. Beliau bukan sahaja pemimpin negeri yang berintegriti, malah merupakan seorang pakar aeroangkasa dengan PhD dari United Kingdom. Mustahil beliau tidak faham hal asas seperti kuasa Imigresen Sabah dan Sarawak,” katanya.

Razali turut mempersoalkan kenapa layanan sedemikian hanya dikenakan kepada Ahmad Samsuri, sedangkan tokoh politik lain termasuk yang sedang berhadapan dengan pertuduhan mahkamah  bebas keluar masuk tanpa sekatan.

“Isunya di sini bukan soal ‘tak faham prosedur’ atau ‘salah faham tentang autonomi’. Isu sebenar ialah kenapa hanya beliau sahaja yang dikenakan tindakan sebegitu? Kenapa VIP lain, termasuk yang sedang menghadapi kes mahkamah, tidak pula diberi layanan serupa?

“Kalau benar ini hanya SOP biasa, mengapa hanya Dr Sam yang diarahkan menunggu, disekat dan ditandai? Mengapa perkara ini berulang kepada beliau?

“Apakah sebegini murah nilai seorang Menteri Besar di mata sistem yang kononnya mengutamakan ‘keselamatan negara’, tetapi jelas lebih menjurus kepada intimidasi politik,” katanya.

Beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik untuk melihat isu itu dengan adil dan berperikemanusiaan.

“Dr Sam bukan penjenayah dan beliau pemimpin yang terbukti bersih berdasarkan pelbagai laporan rasmi. Jangan biarkan institusi negara digunakan untuk mengaibkan lawan politik secara terang-terangan.

“Rakyat hari ini celik dan matang dalam menilai. Mereka tahu membezakan antara prosedur biasa dan tindakan yang bermotif politik.

“Yang paling penting, jangan biarkan institusi awam dijadikan alat untuk menjatuhkan maruah pemimpin hanya kerana perbezaan fahaman politik,” katanya.

Razali yang juga Exco Kerajaan Negeri berkata, beliau menghormati kuasa autonomi Sabah dan Sarawak, namun menuntut agar semua rakyat Malaysia diberi layanan yang saksama tanpa mengira latar belakang politik atau negeri asal.

“Apa yang berlaku ke atas beliau (Samsuri) bukan disebabkan kejahilan terhadap peraturan, tetapi adalah manifestasi penguatkuasaan TCO secara selektif dan bersifat politik,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!