Kalimah Allah: Kerajaan tidak rujuk perkenan Raja-raja?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) telah menyebabkan polemik berlanjutan ekoran bertindak menarik balik rayuan berhubung isu kalimah Allah di Mahkamah Rayuan baru-baru ini.

Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, terbaharu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pula menunjukkan ketegasan Baginda dalam isu tersebut sebagaimana titah yang dikeluarkan semalam.

Menurut beliau, titah Baginda itu menyusuli pertikaian sama disuarakan pimpinan pembangkang daripada Perikatan Nasional (PN) dan demonstrasi bantahan daripada umat Islam negara ini.

“Sebab itu kita (PN) sejak awal lagi pertikaikan kenapa KDN (Kementerian Dalam Negeri) hanya hantar nota makluman saja ke dalam Kabinet untuk tidak meneruskan rayuan kes ini di mahkamah?

“Saya sendiri bertanya dalam Dewan Rakyat adakah ia (menarik balik rayuan) telah dapat perkenan daripada Majlis Raja-raja Melayu. Tambun (Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim) jawab (soalan tersebut) dalam Parlimen. 

“Memang cakapnya itu tak boleh diyakini, walaupun dia tidak jawab telah dapat perkenan Majlis Raja-raja Melayu, tetapi telah sebut dapat perkenan Yang di-Pertuan Agong,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai.

Anwar ketika memberi jawapan itu pada 23 Mei lalu menyatakan bahawa tidak timbul sama sekali soal tidak dirujuk tersebut kerana keputusan yang dibuat telah diminitkan oleh Jemaah Menteri pada 7 Februari.

Iaitu katanya, memperakui keputusan dan nasihat Yang di-Pertuan Agong adalah selari dengan keputusan Majlis Raja-raja Melayu iaitu nama Allah tidak boleh digunakan walaupun ada pandangan-pandangan peribadi yang lain.

Bagaimanapun titah Sultan Sharafuddin supaya Perdana Menteri membawa perkara tersebut kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Baginda yang menerima menghadap Dato’ Seri Anwar semalam bertitah bahawa disembah komitmen pihak Kerajaan Malaysia untuk merujuk isu tersebut kepada Majlis Raja-raja Melayu.

“Dalam perbincangan tersebut, Beta selaku Pengerusi MKI telah menyuarakan pandangan Beta yang juga telah dipersetujui oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Bahawa perkara ini perlu dibawa terlebih dahulu kepada MKI untuk dibincangkan selaras dengan fungsi MKI yang bertanggungjawab menasihatkan Raja-Raja Melayu dalam menambah baik tadbir urus agama Islam di peringkat Persekutuan.

“Beta juga berpandangan, memandangkan perkara ini melibatkan sensitiviti agama di Malaysia, isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam perlu dimuktamadkan dengan segera oleh pihak Kerajaan Malaysia dengan penuh hikmah dan tanggungjawab.

“Justeru, YAB Perdana Menteri telah bersetuju dengan cadangan Beta untuk membawa isu ini kepada MKI pada bulan Ogos 2023 sebelum ianya diangkat kepada Majlis Raja-Raja pada bulan Oktober 2023.

“Beta percaya pandangan MKI adalah penting untuk dimajukan kepada Majlis Raja-Raja dalam menetapkan dasar muktamad berhubung penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Malaysia,” titah Sultan Sharafuddin.

Menurut Ustaz Idris yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memang sepatutnya isu tersebut dirayu ke Mahkamah Rayuan. 

“Kenapa Kabinet tidak mahu meneruskan? Kenapa tidak hormat pihak berkuasa agama dan berbincang terlebih dahulu?” soal beliau. – HARAKAHDAILY 8/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -