15 Mac diisytihar Hari Antarabangsa Memerangi Islamofobia

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Malaysia menaja bersama resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengisytiharkan 15 Mac sebagai Hari Antarabangsa untuk Memerangi Islamofobia.

Pengisytiharan itu mencerminkan keperluan mendesak untuk menangani peningkatan diskriminasi, xenofobia, sikap tidak bertoleransi dan keganasan terhadap umat Islam di seluruh dunia.

- Advertisement -

Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah dalam satu kenyataan berkata resolusi hasil inisiatif Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) itu diterima pakai secara konsensus di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada Rabu.

Tarikh 15 Mac dipilih bagi memperingati serangan ke atas jemaah Islam semasa solat Jumaat di dua masjid di Christchurch, New Zealand pada 2019 yang meragut 51 nyawa selain mencederakan 40 yang lain. 

Selain negara anggota OIC, resolusi itu turut ditaja bersama China, Cuba, Nicaragua, Rusia, Uruguay, Venezuela dan Filipina.

“Resolusi itu mengecam semua tindakan keganasan atas sebab agama atau kepercayaan seseorang, serta serangan ke atas tempat ibadat keagamaan yang melanggar undang-undang antarabangsa.” katanya.

Saifuddin berkata Islam adalah agama berlandaskan keamanan dan tidak sepatutnya dikaitkan dengan sebarang tindakan keganasan atau ekstremisme yang menyimpang daripada ajaran sebenarnya.

Malaysia akan terus memperjuangkan prinsip hidup bersama dalam budaya damai, meningkatkan keharmonian dan saling menghormati antara negara, masyarakat, bangsa yang berbeza agama dan kepercayaan serta komited memerangi Islamofobia, hasutan dan penindasan.

“Dengan semangat ‘Keluarga Dunia’, masyarakat antarabangsa harus mengukuhkan usaha dalam menggalakkan dialog bagi mempromosi hidup bersama dalam budaya damai dan harmoni di semua peringkat,” kata Saifuddin. – BERNAMA

- Advertisement -