Istiqamah tanda kemenangan

- Advertisement -

FIRMAN Allah S.W.T:

- Advertisement -

لَوْ كَانَ عَرَضًا قَرِيبًا وَسَفَرًا قَاصِدًا لاَّتَّبَعُوكَ وَلَكِن بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ الشُّقَّةُ وَسَيَحْلِفُونَ بِاللّهِ لَوِ اسْتَطَعْنَا لَخَرَجْنَا مَعَكُمْ يُهْلِكُونَ أَنفُسَهُمْ وَاللّهُ يَعْلَمُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ.

“Kalaulah yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh ditambahi dengan kesukaran (terasa oleh mereka). Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: “Jikalau kami berkemampuan pasti kami berangkat bersama-samamu”. Mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka orang-orang yang berdusta.”

(at-Taubah: 42)

Itulah hakikat sebuah perjuangan. Ianya bukanlah semudah yang diungkapkan. Ianya penuh ujian dan onak. Ujian yang berbentuk kedengkian dan kezaliman musuh, ujian dengan kesakitan, kesukaran dan kepayahan. Namun tidak dinafikan ujian yang berat juga berbentuk kesenangan, kedudukan dan pangkat, harta kekayaan, ilmu dan gelaran. Ujian yang kedua ini kadang-kadang lebih mudah menyebabkan seseorang tergelincir dan lupa daratan. Kesenangan dan kedudukan menyebabkan seseorang lupa diri semasa ianya susah.

Perjuangan juga memerlukan kesediaan untuk menerima arahan. Di kala itu segala sifat kesombongan hendaklah dilontarkan jauh-jauh. Jentera hendaklah menerima arahan daripada komander. Keputusan dan ketetapan komander adalah suatu yang wajib dipatuhi sekalipun ianya bercanggah dengan pandangan peribadi. Ini adalah demi kebaikan sesebuah jemaah.

Firman Allah S.W.T:

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِنَ اللَّهِ لِنْتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنْتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانْفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ ۖ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ.

“Maka disebabkan rahmat dari Allah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka akan menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.”

(Aali Imran: 159)

Arahan bermesyuarat sebelum keputusan ditetapkan. Namun pilihan mana yang ingin dilaksanakan adalah hak pimpinan. Pimpinan berhak menentukan hala tuju setelah membuat penilaian daripada pandangan yang pelbagai. 

Itulah indahnya berjemaah. Pandangan boleh diberikan melalui medan musyawarah, namun keputusan adalah hak pimpinan. Setelah keputusan dibuat oleh pimpinan, tiada lagi pandangan yang boleh diutarakan. Setia, taat dan wala’ adalah suatu tuntutan.

Sabda Rasulullah S.A.W:

السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ عَلَى المَرْءِ المُسْلِمِ فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ، مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِمَعْصِيَةٍ، فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلاَ سَمْعَ وَلاَ طَاعَةَ.

“(Wajib) dengar dan taat (kepada pemimpin) ke atas setiap orang Muslim pada apa yang ia suka dan ia benci, selagi mana ia tidak diperintah melakukan maksiat, apabila ia diperintah melakukan maksiat, maka tiada lagi dengar dan taat.”

(Riwayat al-Bukhari)

Pesanan Rasulullah S.A.W. ini adalah demi keutuhan sebuah jemaah agar tidak terus bercelaru dengan pandangan yang banyak. Pastinya keputusan pimpinan berdasarkan ilmu dan pengalaman setelah menghayati semua pandangan adalah lebih tepat berbanding pandangan peribadi.

Justeru tiada pilihan untuk anggota jemaah melainkan meletakkan kepercayaan dan kesetiaan kepada keputusan pimpinan. Apalagi membuka ruang kepada persepsi negatif dan fitnah terhadap jemaah, pastinya ia suatu perbuatan yang keji.

Firman Allah S.W.T:

فَٱسْتَقِمْ كَمَآ أُمِرْتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا۟ ۚ إِنَّهُۥ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ.

“Maka tetaplah kamu pada jalan yang benar sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah taubat bersama kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”

(Hud: 112)

Istiqamah suatu yang mudah diungkapkan namun berat untuk dilaksanakan. Istiqamah tanda keikhlasan. Istiqamah satu kemenangan. 

Insafilah segala keterlanjuran kita, rendahkan sayap kehinaan, buangkan kesombongan, ikhlas diri dalam perjuangan semata-mata ingin mendapatkan mardhaatilLah (keredaan Allah) seumpama Saidina Khalid bin Al-Walid R.A yang sentiasa bersama menjunjung perjuangan walaupun sudah tiada kedudukan. Matlamatnya mardhaatilLah. Ketaatan dan setia dengan kepimpinan adalah sebahagian jalan menuju keredaan Allah. Terus beristiqamah hingga kemenangan. Aamiin.

“Islam Menyatukan Ummah”

Al-Faqiiru IlalLah,
ABU IRFAN MUHAMMAD AL-URDUNI
Ketua Penerangan PAS Johor – HARAKAHDAILY 16/3/2022

- Advertisement -