Ibu bapa, kerajaan bersama bendung gejala sosial

- Advertisement -

KOTA BHARU: Semua pihak terutama ibu bapa dan kerajaan mempunyai tanggungjawab dalam mendidik anak-anak agar tidak terjerumus dengan gejala sosial terutama kes rogol.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, kerajaan negeri sentiasa memainkan peranan melalui pelbagai program pendidikan yang dilaksanakan di masjid, surau dan sekolah bagi mencegah gejala tersebut.

“Kita telah berusaha sebaik mungkin namun, jika ibu bapa tidak memainkan peranan mereka memantau anak masing-masing, usaha ini sukar untuk berjaya.

“Setiap individu wajib menjaga diri dan ahli keluarga masing-masing daripada api neraka,” katanya pada media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kelantan, di sini semalam.

Nassuruddin berkata, hasrat itu bukan bermaksud kerajaan negeri bersikap lepas tangan, sebaliknya sentiasa membincangkan isu sosial dan mencari pendekatan terbaik dalam mendidik rakyat di negeri berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, gejala sosial termasuk kes rogol tidak hanya berlaku di Kelantan, namun kerajaan negeri memandang serius perkara itu dan berusaha menanganinya.

“Kita harap ibu bapa lebih peka dalam mendidik anak-anak, memandangkan masa mereka lebih banyak dihabiskan di rumah,” tambahnya lagi.

Kelmarin, media melaporkan jumlah kes rogol dan sumbang mahram di Kelantan menunjukkan peningkatan ketara, kebanyakannya melibatkan hubungan atas dasar suka sama suka.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat pada sidang medianya memberitahu 252 kes direkodkan sepanjang tahun 2024 berbanding 206 kes pada 2023 dengan peningkatan 22.3 peratus. – HARAKAHDAILY 11/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!