Perubahan iklim: Masalah kita bersama

- Advertisement -

MUNGKIN ada orang bertanya akan saya kenapa masih menulis mengenai alam sekitar kerana pimpinan PAS tidak lagi menjadi Menteri Alam Sekitar (KASA)? Sebelum ini Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man adalah menteri bertanggungjawab dan ramai ahli-ahli PAS mula membuka mata kepada isu-isu alam sekitar. Buat pertama kali ramai yang sedar terhadap kewujudan satu persidangan antarabangsa mengenai perubahan iklim anjuran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (United Nation Climate Change Conference atau COP).

- Advertisement -

Pada COP yang kali ke-26 atau COP26 di Scotland tahun lepas, Dato’ Seri Tuan Ibrahim telah mencuri perhatian rakyat Malaysia apabila berucap di dalam Bahasa Melayu. Ramai yang menganggap tindakan tersebut telah mengangkat martabat Bahasa Melayu di pentas antarabangsa. Walaupun pemimpin negara-negara lain seperti Korea Selatan, China, Indonesia, Perancis dan Thailand turut berucap dalam bahasa mereka sendiri namun terdapat segelintir rakyat Malaysia memandang rendah kepada bahasa kebangsaan kita sehingga menganggap janggal apabila bahasa tersebut digunakan di peringkat antarabangsa.

Sayang sekali perhatian utama yang diberikan adalah kepada bahasa yang digunakan, sama ada memuji atau mengecam, tetapi bukan kepada isi ucapan atau persidangan tersebut. Tetapi ramai dari kita yang telah mulai sedar mengenai perubahan iklim dan pemanasan global yang berlaku. Walaupun negara kita bukan penyumbang utama kepada pelepasan gas-gas rumah kaca (greenhouse gases) namun kesannya akan dirasai oleh kita. 

Cuba kita lihat kepada Pakistan yang baru saja dilanda banjir besar tahun ini yang diakui lebih ekstrem akibat perubahan iklim. Pakistan hanya menyumbang kepada 0.5 peratus dari pelepasan karbon dioksida dunia tetapi terpaksa menanggung kesan dari ‘jenayah’ yang dilakukan oleh negara-negara lain. Negara Selatan Asia tersebut adalah di antara 10 negara di dunia yang paling kerap dilanda bencana alam walaupun ia hanya menyumbang kepada 0.8 peratus jejak karbon global (global carbon footprint).

Secara ringkas, negara-negara seperti Pakistan ini perlu dibantu untuk menangani kesan-kesan perubahan iklim terhadap mereka. Banjir di Pakistan mengakibatkan kerugian bernilai 30 bilion USD. Satu lagi negara berhadapan dengan kesan perubahan iklim adalah Somalia di mana 7 juta penduduk diancam kebuluran. COP tahun ini sepatutnya memuktamadkan kaedah untuk membantu negara-negara paling terkesan. Persidangan tahun ini, COP27, telah berlangsung di Sharm El-Sheikh, Mesir dari 6 hingga 18 November lepas.

Ada pihak yang kecewa dengan pencapaian-pencapaian COP 27 dan ada yang mendakwa perhatian dunia tidak tertumpu kepadanya kerana terdapat perkembangan-perkembangan lain di dunia yang menenggelamkan persidangan tersebut. Di antaranya adalah peperangan di Ukraine yang sudah tentu mendapat perhatian negara-negara Eropah. Minggu pertama COP27 pula bertembung dengan pemilihan separuh penggal di Amerika Syarikat (US midterm elections). Sementara minggu kedua pula bertembung dengan sidang kemuncak G20 di Bali, Indonesia. Selepas itu Piala Dunia di Qatar pula mendominasi perhatian dunia. Terdapat mereka yang mempertikaikan keberkesanan Mesir sebagai pengerusi tahun ini berbanding dengan UK pada tahun lepas.

Memandangkan kegagalan negara-negara maju menggerakkan 100 bilion USD setahun yang dijanjikan mulai 2020, bantuan kewangan bagi negara-negara miskin yang bertarung dengan impak perubahan iklim merupakan tema utama COP27. Negara-negara membangun menghadiri persidangan tersebut mengharapkan kemajuan dalam beberapa bidang iaitu pembiayaan iklim dan dana 100 bilion USD setahun yang dijanjikan, penyahkarbonan global (global decarbonisation) dan pengakuan dari negara-negara maju bahawa mereka bertanggungjawab di atas perubahan iklim dan persetujuan untuk membayar pampasan untuk segala kerugian dan kemusnahan (lost and damage). Walau bagaimanapun kebanyakan dari hasrat-hasrat mereka ini telah gagal dicapai.

Tetapi satu pencapaian penting adalah mewujudkan dan mengoperasikan dana kerugian dan kemusnahan (lost and damage fund) untuk negara-negara yang paling terdedah kepada krisis iklim. Walau bagaimanapun konsep menyalurkan dana daripada negara-negara kaya yang sebenarnya paling bertanggungjawab di atas pelepasan kepada negara-negara membangun yang paling terkesan dengan perubahan iklim telah mencetuskan perbalahan sebelum COP27 bermula. Hanya setelah berlaku desakan oleh negara-negara membangun dan surat terbuka oleh 400 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dana pampasan iklim telah menjadi sebahagian dari agenda COP27.

Dunia ini dibelenggu dengan pelbagai masalah akibat perubahan iklim. Terdapat begitu banyak pemain (players) yang memiliki kepentingan masing-masing yang tersendiri. Persidangan-persidangan menetapkan resolusi. Kerajaan-kerajaan dunia pula menyatakan akujanji dan merangka polisi. Krisis iklim ini terlalu penting untuk hanya diuruskan oleh kerajaan. Di peringkat antarabangsa, NGO-NGO memainkan peranan yang penting sebagai kumpulan pendesak (pressure group). Mereka juga bertindak untuk memberi kesedaran kepada rakyat. Tanpa kesedaran dan kerjasama rakyat, polisi kerajaan tidak akan berjaya. Isu perubahan iklim dan alam sekitar tidak sepatutnya dipolitikkan. Rakyat tanpa mengira fahaman politik akan menerima kesannya jika tidak diuruskan dengan baik.

DATO’ ISKANDAR A SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 15/12/2022

- Advertisement -