ARAU: Ribuan rakyat negeri ini membanjiri Dataran Istiadat, Istana Arau, pagi ini bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.
Keberangkatan baginda yang disambut penuh hormat oleh rakyat, diiringi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan cucuanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Solat yang bermula pada jam 8 pagi itu diimamkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor. Khutbah pula disampaikan oleh Mufti Negeri Perlis, Sahibus Samahah Dato’ Arif Perkasa Prof Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Turut menyertai jemaah ialah Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli; Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, Rus’sele Eizan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Rahimi Ismail, serta barisan pimpinan kerajaan negeri dan persekutuan.

Suasana solat dipenuhi dengan keinsafan dan kesyukuran, mencerminkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat dan kepimpinan negeri.
Kehadiran pelbagai lapisan masyarakat dari seluruh negeri ini menyerikan lagi sambutan Aidilfitri di negeri ini. – HARAKAHDAILY 31/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!