Rumah Belia Madani – Nama baharu, projek lama

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan sekarang mengubah nama projek perumahan untuk golongan belia dipersoalkan di Dewan Rakyat, hari ini.

Dato’ Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) berkata, Perumahan Transit Belia (MyTransit) kini dinamakan sebagai projek Rumah Belia Madani (RBM).

- Advertisement -

Menurutnya, projek itu dimulakan oleh Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan di Lembah Klang, iaitu di Mukim Batu, Sentul.

Katanya, inisiatif itu dilaksanakan oleh BMG Global Sdn Bhd (BMG Global) sebagai pelabur yang membiayai kos perancangan dan pembinaan rumah bagi golongan belia memulakan kehidupan.

“Saya menyokong sebarang usaha untuk meringankan beban golongan ini dan kerajaan sebelum ini pun sudah melaksanakan MyTransit yang nama sekarang, RBM di Lembah Klang.

“Persoalan saya apakah perbezaan atau penambahbaikan yang dilaksanakan melalui RBM berbanding MyTransit yang dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan.

Timbalan Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, mengakui RBM dimulakan ketika era bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak melalui Belanjawan 2017.

Beliau berkata, pengumuman demi pengumuman dibuat namun tiada sebarang usaha untuk menjadikannya sebagai kenyataan sehingga kerajaan yang dikemudi Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Itulah perbezaannya kerajaan bertukar dan tidak berlaku apa-apa sehingga sekarang, memang tiada pun rumah transit belia yang diumumkan sebelum ini.

“Kami merujuk cadangan sebelum ini dan memahami mengapa perkara itu gagal dilaksanakan. Maka sebab itu pada Februari lalu apabila kita semak semula, maka kita akan cuba jadikannya,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/5/2023

- Advertisement -