ALOR SETAR: Seramai 5,600 penjawat awam Kerajaan Negeri Kedah menerima Bantuan Khas Aidilfitri sebanyak RM1,000 seorang.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata, bayaran yang melibatkan jumlah keseluruhan RM5.6 juta itu telah dikreditkan ke akuan masing-masing, baru-baru ini.
“Kerajaan Negeri juga telah melaksanakan sumbangan banjir kepada 13,000 isi rumah sebanyak RM500 setiap keluarga dengan peruntukan keseluruhan RM6.5 juta.
“Ganjaran sukan pula sebanyak RM316,450. Selain sumbangan-sumbangan ini kita beri sempena Aidilfitri ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Ganjaran kepada Atlet dan Pegawai sempena Temasya Para Asean Games Cambodia 2023, Sukma dan Para Sukma XXI Sarawak 2024, dan Olimpik Paris 2024 di Dewan Seri Mentaloon, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Sanusi turut mengumumkan cuti peristiwa pada Ahad, 30 Mac sempena Aidilfitri, di Kedah.
Cuti peristiwa itu katanya diberi untuk memudahkan semua pihak melakukan persiapan raya selain memberi peluang orang ramai merancang perjalanan pulang ke kampung.
“Keputusan penetapan cuti peristiwa ini telah diputuskan pada Exco sebelum ini dan kita umumkan hari ini,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 26/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!