Pindaan Perlembagaan selesaikan polemik

Isu kanak-kanak mualaf

- Advertisement -

PEMUDA PAS Negeri Selangor menegaskan bahawa perlunya satu usaha serius yang digerakkan secara besar-besaran bagi menyelesaikan polemik isu pertukaran agama bagi kanak-kanak ekoran isu yang hangat yang berlaku dalam negara pada hari ini berkenaan pengislaman 3 kanak-kanak mualaf di Perlis dan tuntutan berhubung penjagaan ke atas mereka oleh ibunya, Puan Loh. 

Semalam mahkamah telah memutuskan bahawa hak penjagaan diberikan kepada Puan Loh, ibu kepada ketiga-tiga kanak-kanak mualaf tersebut namun menjadi kebimbangan ramai apabila ibunya bukan seorang yang beragama Islam. Ditambah lagi, terdapat ‘rumors’ bahawa akan ada pula langkah mencabar keabsahan status pengislaman kanak-kanak mualaf tersebut ekoran dari kenyataan biadab P. Ramasamy dengan memfitnah Jabatan Agama Islam Perlis berhubung isu pengislaman kanak-kanak tersebut.

- Advertisement -

Polemik isu ini mesti ditangani dengan serius agar tidak menjadikan seseorang yang telah direkodkan dan disahkan pengislamannya dibatalkan atau dimurtadkan. Kita tidak mahu dalam kes ini ataupun mana-mana kes akan datang akan berlakunya polemik seperti ini yang pastinya mengundang keresahan umat Islam apatah lagi dilihat merobek sensitiviti umat Islam.

Pihak kementerian yang terlibat beserta pada peguam Muslim mestilah duduk semeja berbincang bagaimana untuk menyelesaikan polemik ini yang biasanya melibatkan tafsiran bertentangan pada konteks perkataan ‘parents’ yang membawa implikasi mestilah kedua ibu dan bapa, yang bukannya salah seorang sama ada ibu atau bapa bagi anutan agama kanak-kanak di bawah 18 tahun.

Apa yang kita kesal ialah di negara yang majoriti umat Islam dan Islam sebagai agama Persekutuan, namun hal seumpama ini hanya memberikan kesan negatif kepada imej Islam. Sehubungan itu, langkah yang proaktif wajar diambil oleh pihak kerajaan bagi tangani polemik ini yang berlarutan sejak sekian lama.

Di sinilah pentingnya kita bersatu hati menyokong apa sahaja usaha dalam memartabatkan peranan dan bidang kuasa Mahkamah Syariah agar lebih banyak perkara berhubung soal yang menyentuh aspek akidah dan syariah dapat dijalankan dengan baik tanpa gangguan dari ‘campur tangan’ pihak yang tidak senang dengan Islam ini menerusi platform Mahkamah Sivil.

Polemik ini biasanya melibatkan dua sudut sahaja sama ada meminda dengan menurunkan had umur bebas memilih anutan agama bawah dari 18 tahun atau meminda perkataan ‘parents’ agar membawa implikasi tafsiran kepada ‘ibu atau bapa’ dan bukannya ‘ibu dan bapa’. Pindaan ini mestilah dibincangkan secara serius agar maslahat tercapai dengan lebih banyak ruang dan peluang. 

Pemuda PAS Selangor yakin Kerajaan Persekutuan yang ada pada hari ini mampu menggerakkan usaha ini dengan kuasa yang ada. Usah bergolak dalam perebutan kuasa yang menatijahkan PRN demi PRN, tetapi fokuskan kebersamaan untuk menyelesaikan isu-isu satu demi satu demi agama, negara dan ummah. 

USTAZ HAJI MOHAMED SUKRI OMAR
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 23/2/2022

Sumber Asal: https://www.facebook.com/225685927482720/posts/5332782923439636/

- Advertisement -