KPM: Manifestasi kecekapan Kerajaan PN

- Advertisement -

SALAH satu kementerian yang menjadi fokus penilaian semasa oleh semua pihak sama ada dari pihak kerajaan sendiri ataupun barisan pembangkang adalah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Setiap langkah dan keputusannya memberi kesan langsung kepada imej negara serta hala tuju pendidikan generasi akan datang.

Apabila tercetus penularan wabak COVID-19, sektor pendidikan juga tidak terkecuali menerima tempias yang cukup ketara. Tidak terbayang di mata kepala para pelajar, guru-guru, ibu bapa dan pengelola institusi pendidikan bagaimana kaedah pengajaran dan pembelajaran akan berubah dengan begitu drastik.

Meskipun berlaku kelainan di dalam bidang pendidikan dari sudut operasi, kaedah penyampaian dan penggunaan teknologi maya, ternyata pihak KPM dapat berhadapan dan menangani isu yang berbangkit dengan terancang dan teratur sejak tertularnya pendamik tersebut.

- Advertisement -

Segala keputusan yang diambil adalah mengikut rasional dengan mengambil kira SOP serta penilaian risiko jangkitan ke atas pelajar. Di samping itu, pihak KPM juga memandang serius mengenai keselamatan persekitaran sekolah bagi memastikan murid-murid, para pelajar dan guru berkeadaan selamat daripada terjangkit atau menjangkiti wabak itu.

Program pendidikan yang menjurus ke arah mempertingkat serta mempelbagaikan kaedah penyampaian ilmu seperti penambahan saluran TV pendidikan dan rancangan pendidikan menerusi aplikasi tertentu juga memberi impak positif kepada anak-anak yang terpaksa belajar dari rumah.

Hari ini murid-murid, para pelajar dan guru-guru sudah tidak merasa janggal menggunakan alat peranti komunikasi atau gajet bagi melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam talian. Pengurus sekolah serta guru pula sering bertemu di dalam ‘meeting online’ bagi mengurus hal pendidikan anak-anak murid. Ini adalah amalan norma baru dalam bidang pendidikan.

Cara KPM mengurus hal peperiksaan utama negara tahun 2020 pula seperti SPM, STPM dan STAM adalah di luar kotak pemikiran awam dan diurus secara profesional. Apakan tidak, sistem pemarkahan dibuat dalam talian, pemakluman keputusan SPM dipendekkan dari 90 hari ke 76 hari dari tarikh akhir peperiksaan, slip keputusan didapati melalui muat turun, dan pengeluaran sijil SPM diperolehi dalam tempoh satu bulan.

Baru-baru ini pula YB Datuk Dr. Menteri Kanan (Pendidikan) telah mengumumkan pengambilan guru baru sejumlah 18,702 orang secara ‘one-off’ bagi menampung kekurangan guru yang begitu kritikal. Pengambilan guru berkenaan ibarat serampang dua mata iaitu, mengurangkan kadar pengangguran di kalangan siswazah, selain memenuhi kuota kekosongan guru yang perlu diisi segera.

Terkini adalah cadangan pihak KPM untuk membuka kelas persekolahan secara bersemuka terutamanya kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama iaitu SPM, STPM dan STAM 2021, apabila tiba ambang kedua Pelan Pemulihan Nasional. Untuk itu, pihak KPM telah mengesyorkan cadangan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi supaya para pelajar berkenaan yang berjumlah seramai 357 ribu orang dan sejumlah 47 ribu orang guru termasuk di dalam kelompok penting untuk divaksin dengan segera.

Justeru, didapati bahawa KPM sememangnya berada di atas landasan yang betul dan pujian sewajarnya dihamburkan kepada para pendidik yang tidak jemu-jemu menyampaikan pengetahuan. Hal ini seterusnya membuktikan bahawa kerajaan PN yang menaungi KPM berjaya mengemudi bahtera pemerintahan dengan baik, efektif, cekap dan berkesan.

Jadi, tidak ada istilah kerajaan gagal seperti mana wirid kelompok PH. Ia tidak lain dan tidak bukan hanya propaganda nakal mereka yang tidak jemu-jemu ingin merosakkan sumbangan bakti kerajaan hari ini. Itulah kerja PH.

DR. AHMAD FAKHRUDDIN SHEIKH FAKHRURAZI
Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 29/6/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/228166420966448/posts/1188505291599218/

- Advertisement -