Vaksinasi: PPV Naka, Lubuk Merbau mudahkan masyarakat

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Dua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Naka dan Lubuk Merbau diwujudkan untuk membantu masyarakat kampung berkenaan menerima suntikan vaksin Covid-19 tanpa perlu ke PPV Kuala Nerang.

Exco Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman berkata, tindakan itu untuk memudahkan masyarakat luar bandar yang tinggal agak pedalaman tidak perlu ke Kuala Nerang untuk mendapatkan vaksinasi itu.

“Pusat Kesihatan di sini, mengambil pendekatan membuka dua lagi PPV di Naka dan Lubuk Merbau. Maknanya mereka yang tinggal di kawasan itu tidak perlu datang ke PPV di Kuala Nerang untuk suntikan vaksin. Jadi memudahkan mereka,” kata beliau ketika dihubungi hari ini.

- Advertisement -

Menurutnya juga, pada Khamis ini akan ada vaksinasi secara ‘pandu lalu’ bertempat di Perik oleh Lembaga Zakat Kedah melalui klinik bergeraknya.

“Alhamdulillah, semua petugas sukarelawan memberi kerjasama yang baik. Terdapat juga penjawat awam dan guru-guru sekolah yang membantu sebagai sukarelawan supaya vaksinasi di daerah Padang Terap ini dapat dilakukan secara lebih menyeluruh,” tambah beliau

Ketika lawatannya ke PPV Kuala Nerang Sabtu lalu, beliau difahamkan hampir 80 peratus warga emas yang mendaftar selesai divaksinasikan dan kini para petugas memberi tumpuan kepada masyarakat pelbagai umur pula.

Sungguhpun begitu disebabkan bekalan vaksin tidak mencukupi buat masa ini, proses vaksinasi terpaksa dibuat secara berperingkat mengikut jumlah bekalan yang diterima.

Katanya sehingga ini PPV Kota Nerang berkemampuan memberi suntikan vaksin kepada 400 penerima setiap hari.

Adun Pedu, Mohd Radzi Md Amin antara yang bersama beliau ketika lawatan itu. – HARAKAHDAILY 29/6/2021