Mangsa banjir DUN Anak Bukit dapat bantuan

Rashidi Razak ketika berucap di majlis penyampaian sumbangan pasca banjir.
- Advertisement -

KUALA KEDAH: Seramai 100 penduduk Kampung Titi Gajah, Anak Bukit yang dilanda banjir September lalu, menerima sumbangan barangan keperluan harian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit, Rashidi Razak berkata, sumbangan pasca banjir itu diharapkan dapat meringankan sedikit sebanyak beban penduduk terbabit setelah kediaman mereka dilanda banjir sebelum ini.

- Advertisement -

“Kita semua tahu, sebahagian kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit dilanda banjir baru-baru ini. Musibah ini bukan sahaja menyebabkan peralatan rumah rosak, malah tanam-tanaman terkesan,” katanya dalam majlis penyampaian bantuan itu, semalam.

Turut hadir Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi dan Penghulu Mukim Titi Gajah, Mohd Riduan Razak.

Hujan lebat yang melanda Kedah bermula 18 September lalu menyebabkan beberapa daerah dilanda banjir. Di DUN Anak Bukit, lebih 10 kampung terutama yang berdekatan Sungai Anak Bukit terlibat.

Mangsa banjir di DUN berkenaan kemudian ditempatkan di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS), iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Merah, SMK Kepala Batas dan Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah.

Rashidi berharap projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sungai Anak Bukit dapat disiapkan segera untuk menangani isu banjir di DUN berkenaan. – HARAKAHDAILY 18/11/2024