VALENCIA: Raja dan Ratu Sepanyol telah dibaling dengan lumpur dan objek lain oleh penunjuk perasaan yang marah ketika kedua-duanya mengadakan lawatan ke Valencia, wilayah yang dilanda banjir teruk pada minggu lalu yang telah mengorbankan lebih 200 nyawa.
Jeritan ‘pembunuh’ dan ‘memalukan’ ditujukan kepada pasangan diraja itu, perdana menteri Sepanyol dan pemimpin lain ketika mereka berjalan melalui bandar Paiporta – salah satu lokasi yang paling teruk terjejas di wilayah itu.
Dengan lumpur di muka dan pakaian mereka, Raja Felipe IV dan Ratu Letizia kemudian dilihat sebagai ‘bahan hiburan’ kepada orang ramai.
Terdapat kemarahan terhadap kurangnya amaran dan sokongan yang tidak mencukupi daripada pihak berkuasa selepas banjir tersebut, lapor BBC.
Rakaman menunjukkan Raja Felipe sedang berjalan menyusuri jalan pejalan kaki, sebelum pengawal peribadinya dan polis tiba-tiba dikelilingi sekumpulan penunjuk perasaan, yang kemudian melemparkan kata-kata penghinaan dan jeritan.
Pengiring diraja bergelut untuk mengekalkan pelindung di sekeliling kedua-dua Raja Felipe dan Ratu Letizia kerana beberapa penunjuk perasaan mula membaling lumpur dan objek ke arah mereka.
Pada Ahad (3 Nov), jumlah kematian akibat banjir meningkat kepada 217, dengan ramai lagi yang dikhuatiri hilang.
Hampir semua kematian yang disahkan setakat ini berada di wilayah Valencia di pantai Mediterranean, dengan beberapa kawasan telah musnah seratus peratus.
Pihak berkuasa di Paiporta, bandar yang dilawatioleh delegasi diraja, telah melaporkan sekurang-kurangnya 62 kematian.
Pekerja kecemasan juga telah mengadakan tinjauan di tempat letak kereta bawah tanah dan terowong dengan harapan mencari mangsa yang terselamat dan mangsa yang terkorban.
Terdapat kemarahan daripada orang ramai terhadap kurangnya amaran dan sokongan yang tidak mencukupi daripada pihak berkuasa selepas banjir.
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sánchez dan ketua kerajaan wilayah Valencia, Carlos Mazón, menyertai pasangan diraja dalam lawatan itu, tetapi segera diiringi keluar dari kawasan itu kerana orang ramai semakin menunjukkan kemarahan.
Media Sepanyol melaporkan bahawa objek telah dilemparkan ke arah Sánchez, manakala rakaman yang disahkan oleh BBC menunjukkan batu dilempar ke arah keretanya ketika beliau dihalau dari situ.
Selepas beliau berlalu pergi, orang ramai melaungkan: “Di manakah (Pedro) Sánchez?”
Selepas ini, rombongan diraja itu berhasrat untuk pergi ke Chiva, sebuah lagi bandar di wilayah Valencia yang terjejas teruk akibat banjir, tetapi lawatan itu telah ditangguhkan.
Raja Felipe dalam kenyataannya berkata, baginda memahami ‘kemarahan dan kekecewaan’ penunjuk perasaan dalam video yang disiarkan di akaun Instagram keluarga diraja.
Datuk Bandar Paiporta, Maribel Albalat pula memberitahu BBC beliau terkejut dengan insiden yang menimpa rombongan diraja dan pengiring, tetapi beliau menyatakan memahami ‘kekecewaan rakyat’.
Terdahulu, pada Sabtu (2 Nov), Sánchez telah mengarahkan tambahan 10,000 lagi tentera, pegawai polis dan pengawal awam ke kawasan itu.
Banjir bermula pada Selasa (29 Okt), berikutan tempoh hujan lebat, menyaksikan air banjir dengan cepat mengalir deras menyebabkan jambatan runtuh dan menyelubungi bandar dengan lumpur tebal.
Banyak komuniti terputus hubungan, yang dibiarkan tanpa akses kepada air, makanan, elektrik dan perkhidmatan asas lain. -Agensi/– HARAKAHDAILY 4/11/2024