Harut, Marut turun di Babylon

- Advertisement -

DUA malaikat diturunkan oleh Allah SWT pada suatu ketika dahulu di suatu tempat yang bernama Babylon. Babylon merupakan satu bandar besar, rakyatnya hidup mewah, kaya raya dan senang. Kini, tempat tersebut berada di Iraq berdekatan dengan Sungai Tigris dan Sungai Euphrates.

Salah seorang raja yang tersohor ialah Raja Nebuchadnezzar. Pada zamannya, terdapat kemajuan yang besar, bangunan-bangunan tinggi, pokok-pokok ditanam di atas bangunan tersebut. Jika dilihat dari jauh, hanya pokok yang kelihatan, bukan bangunan. Sehingga ia disebut sebagai Taman Tergantung Babylon.

- Advertisement -

Kisah yang masyhur ialah dua malaikat yang diberi nama oleh Allah iaitu Harut dan Marut diturunkan di Babylon. Ada beberapa pendapat mengenainya yang tidak boleh diterima.

Antaranya ialah pendapat yang menyatakan bahawa kedua-duanya derhaka kepada Allah di langit. Sewaktu Allah memerintahkan malaikat sujud kepada Nabi Adam, kedua-duanya berbahas kerana tidak boleh menerimanya.

Akhirnya, kedua-duanya diturunkan ke bumi. Mengajar ilmu sihir kepada manusia dan melakukan perkara yang tidak baik. Akhirnya, dibunuh dengan tubuhnya digantung di kota.

Pendapat lain pula menyatakan bahawa kedua-dua malaikat ini mempersoal tujuan penciptaan Nabi Adam.

Disebabkan tidak percaya, maka turunlah kedua-duanya ke bumi dalam bentuk manusia. Akibat tidak boleh mengawal diri, akhirnya terjerumus melakukan perkara yang tidak baik sehingga dihukum bunuh.

Ada pula pendapat yang menyatakan bahawa kedua-duanya bukan malaikat. Kedua-duanya merupakan orang jahat cuma menyamar melakukan perkara yang baik.

Pendapat lain menyatakan bahawa kedua-duanya ialah manusia biasa yang soleh. Bukan malaikat. Disebabkan terlalu baik, orang menganggap mereka seperti malaikat. Inilah cerita-cerita yang disebut dalam kitab tafsir terutamanya kitab-kitab tafsir lama yang dibaca di pondok.

Jika betul-betul dikaji, kesemua cerita ini tiada asasnya. Cerita-cerita ini diambil daripada tradisi atau riwayat Bani Israel. Terlalu banyak ceritanya dan sebahagiannya termasuk dalam kitab-kitab tafsir atau hadis.

Dalam pengajian agama, ia disebut sebagai Israiliyat. Israiliyat merupakan cerita-cerita yang datang daripada tradisi Israel. – HARAKAHDAILY 29/8/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -