KUALA LUMPUR/Tebing Barat: “Operasi ketenteraan besar-besaran tentera Israel ke atas Tebing Barat yang bermula pada hari ini mempunyai maksud tersirat.”
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ia adalah untuk menghalau penduduk Palestin ke Jordan, sebagaimana perancangan mereka untuk mengusir orang awam Palestin di Semenanjung Gaza ke wilayah Sinai di Mesir.
“Dengan pelancaran operasi ketenteraan ini, jelaslah niat Israel mahu merampas sepenuhnya bumi Palestin dan membina The Greater Israel,” katanya dalam media sosial miliknya.
Dalam pada itu, beliau berkata, itulah sebabnya rundingan gencatan senjata di Semenanjung Gaza ditunda buat beberapa kali.

“Semuanya kerana ingin memberikan masa kepada Israel bagi melaksanakan agenda besarnya ini dengan bantuan Barat khususnya Amerika Syarikat.
“Sama-sama kita doa dan sokong perjuangan rakyat Palestin dari kezaliman Zionis.
“Semoga Allah SWT memakbulkan doa kita semua Insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/8/2024