‘Ucap terima kasih bukan hanya kepada guru sekolah’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Masyarakat digalakkan memberikan ucapan terima kasih bukan hanya tertumpu kepada guru sekolah sahaja, atas jasa mendidik kepada seseorang.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, masyarakat juga sepatutnya mengucapkan terima kasih kepada sesiapa sahaja yang pernah (terbabit sebagai pendidik ilmuan) menjadi mentor, pelatih, pengajar, termasuklah pensyarah di universiti.

- Advertisement -

“Kesian pensyarah, mereka pun nak dapat kad (ucapan) hari guru juga. Orang kita (umumnya) hanya memahami dan menerima pakai bahawa guru itu adalah orang yang mengajar di sekolah, sama ada daripada TADIKA,TABIKA, Pra-Sekolah sehingga ke tingkatan lima atau enam.

“Apabila telah habis tingkatan 5, kebanyakkan tenaga pengajar ini mengguna pakai gelaran yang lain seperti sir, mister, miss, madam, puan, encik, Dr dan prof.

“Oleh kerana gelaran yang berbeza telah digunakan selepas habis sekolah, maka masyarakat kita memahami bahawa guru hanyalah khusus untuk orang yang mengajar di sekolah sahaja,” tegas Afnan dalam media sosial miliknya hari ini, sempena Hari Guru yang disambut pada hari ini (16 Mei).

Menurutnya yang juga Ahli Parlimen Alor Setar, guru atau cikgu membawa maksud yang sama di Malaysia kerana mereka merupakan orang yang bertanggungjawab mengajar, mendidik, menjadi mentor atau melatih sesiapa sahaja yang berada di bawah seliaannya.

“Tidak dinyatakan secara spesifik bahawa guru atau cikgu adalah khusus kepada tenaga pengajar di sekolah.

“Dalam erti kata yang lain, jika seseorang pernah mengajarkan kepada anda sesuatu jenis ilmu atau melatih, maka dia juga layak digelar sebagai guru atau cikgu.

“Boleh jadi sebenarnya anda pernah ada cikgu yang mengajar repair (membaiki) kereta, main golf, ajar berenang, ajar tanam sayur, ajar buat rumah, bancuh simen atau isi minyak kereta. Tapi, sebab guna gelaran ‘hang, aku’, boleh jadi tak perasan peranan cikgu di situ.

“Malah, dalam kisah Imam Abu Hanifah, beliau sendiri telah memberi penghormatan kepada seorang lelaki kafir dan menggelarnya guru hanya kerana telah mengajar satu ilmu yang berkaitan umur anjing,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/5/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -