PADANG BESAR: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memanfaatkan sebanyak 52 ekar tanah untuk pembangunan projek pertanian di bawah inisiatif UniMAP AgroNexus.
Projek ini melibatkan kerjasama dengan beberapa agensi dan syarikat, termasuk Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Perlis.
Daripada keseluruhan tanah yang diusahakan, 25 ekar digunakan oleh LPP Negeri Perlis melalui Pertubuhan Peladang Kawasan Padang Siding, Paya dan Titi Tinggi untuk penanaman ubi keledek, serai, bunga kantan, dan limau kasturi.
Projek ini merupakan sebahagian daripada usaha meningkatkan pengeluaran agromakanan tempatan.
Naib Canselor UniMAP, Prof Dato’ Ts Dr Zaliman Sauli menjelaskan, Koperasi Al-Najah Kuala Lumpur Berhad turut menyumbang dengan mengusahakan tanaman cili fertigasi di atas tanah seluas 20 ekar bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan.
“Syarikat Ahsan Legacy, yang dimiliki oleh alumni UniMAP, pula mengusahakan penanaman sayuran di atas tujuh ekar tanah di bawah Program Pemerkasaan Usahawan Peladang (Rise-up), yang turut menerima geran padanan sebanyak RM100,000.
“Selain itu, satu lagi projek yang melibatkan alumni UniMAP adalah penternakan ikan air tawar menggunakan Sistem Resirkulasi Akuakultur (RAS) di bawah Syarikat Bangun Subuh Empire. Projek ini menggunakan tujuh sistem RAS, yang mana ikan diternak dalam tangki fiber,” katanya.
Menurut Prof Dato’ Ts Dr Zaliman Sauli, UniMAP AgroNexus bukan sahaja berperanan dalam memantapkan program akademik, penyelidikan dan latihan agri-TVET di UniMAP, tetapi juga dalam menyokong pembangunan pertanian di kampus Sungai Chuchuh serta komuniti setempat.
“UniMAP AgroNexus juga berfungsi sebagai platform untuk menyediakan prasarana pertanian kepada syarikat-syarikat milik graduan UniMAP serta industri dan agensi kerajaan.
“Di samping berkongsi kepakaran teknikal dan hasil penyelidikan bagi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pihak industri,” tambah beliau.
Majlis perasmian UniMAP AgroNexus yang diadakan di Institut Agroteknologi Lestari (INSAT) UniMAP Sungai Chuchuh turut menyaksikan sesi pertukaran dokumen perjanjian sewaan antara UniMAP dengan LPP, Koperasi Al-Najah Kuala Lumpur Berhad, Ahsan Legacy dan Bangun Subuh Empire.
Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Prof Ir Dr Rizalafande Che Ismail dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Prof Ts Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah.
Juga Pengarah LPP Negeri Perlis, Roshidah Ahmad dan Pengarah INSAT UniMAP, Prof Madya Dr Muhammad Imran Ahmad. – HARAKAHDAILY 10/8/2024


Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!