BANGI: Muslimat PAS dan Wanita Umno Cawangan Taman Desa Baiduri telah berkolaborasi buat julung kalinya mewujudkan ‘Food Bank’ dalam usaha membantu masyarakat setempat yang memerlukan.
Menerusi inisiatif ini, keperluan asas seperti beras, gula, telur dan minyak masak telah dikumpulkan secara ‘one stop centre’ agar ia boleh memenuhi capaian kepada golongan kurang berkemampuan mendapatkannya.
Ketua Muslimat PAS Kawasan Bangi, Hamsatul Hamzah menyifatkan usaha itu juga dapat mengeratkan silaturahim dengan mengenali masyarakat setempat yang memerlukan kepada bantuan seumpama.
“Ini adalah usaha yang baik, ia terhasil dari muafakat dua pihak, PAS dan Umno. Kita juga dapat mengenal penduduk di sekitar yang perlu diberi perhatian.
“Inisiatif seperti ini sangat bagus. Saya harap Cawangan lain boleh jadikan usaha ini sebagai satu role model di Cawangan masing-masing,” ujarnya.
Dimaklumkan, perbekalan menyediakan barangan keperluan tersebut juga adalah hasil sumbangan yang diusahakan Muslimat PAS dan Wanita Umno Taman Desa Banduri dalam kalangan penduduk setempat sendiri.
Keprihatinan tersebut juga diperluaskan dan turut mendapat sumbangan daripada PAS Cawangan Cheras Utama dan Ahli Jawatankuasa Muslimat Masjid Al-Ikhwaniah Cheras Utama. – HARAKAHDAILY 15/12/2020