
GATLINBURG: Sebuah video memaparkan seekor beruang yang kelaparan dengan selambanya bertindak berdiri dan membuka pintu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) untuk mencari makanan sementara pemiliknya sedang berdiri di sisi lain kereta berkenaan.
Video yang diperoleh menerusi laman YouTube ‘Tennessean’ itu menunjukkan pengunjung di sebuah hotel, di sini sempat merakam video beruang hitam menghampiri SUV berwarna perak di tempat letak kereta dan membuka pintu depan dan belakang bahagian penumpang, sementara pemilik kenderaan itu berdiri dengan pintu di bahagian pemandu dibuka.
Pemilik kenderaan yang kelihatan tenang itu cuba menghalau beruang berkenaan dengan membunyikan hon, tetapi haiwan besar itu dilihat sama sekali tidak terganggu dengan hon yang dibunyikan itu.
Orang ramai yang berada di sekitar tempat kejadian kemudiannya cuba membantu menghalau beruang berkenaan dengan bertindak ‘membuang’ makanan ke tempat letak kereta bagi membolehkan pemilik bersama seorang rakannya menyelamatkan kenderaan itu.
Dalam video itu juga kedengaran seorang pengunjung yang memberikan amaran kepada pemilik kenderaan itu dengan berkata, “jangan lari, dia akan makan awak,” sementara seorang lagi pengunjung di hotel berkenaan turut berkata, “ini adalah percutian yang paling hebat.”
Haiwan itu kemudiannya dilihat beredar dari SUV tersebut dan bertindak menuju ke longgokan sampah tidak jauh dari lokasi itu dalam usahanya untuk mencari lebih banyak makanan.
Beruang adalah pemandangan biasa di Gatlinburg dan telah diketahui sebagai haiwan yang sering memecah masuk kenderaan sebelum ini dan ada kalanya secara tidak sengaja telah mengunci dirinya di dalam kenderaan yang dimasuki.
Video yang disiarkan pada Selasa, 30 Julai lalu itu telah mendapat perhatian hampir lapan ribu tontonan di YouTube saluran berkenaan. -Agensi/– HARAKAHDAILY 1/8/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!